LOS ANGELES, 28 April – Penyanyi "The Twist", Chubby Checker, bintang pop Cyndi Lauper dan kumpulan Grunge Rock, Soundgarden antara nama yang dipilih untuk dimasukkan ke Rock & Roll Hall of Fame tahun ini.
Hos rancangan "American Idol", Ryan Seacrest, mengumumkan barisan penerima penghormatan 2025 itu dalam rancangan nyanyian terbitan ABC pada Ahad.
Turut tersenarai untuk Rock Hall di Cleveland ialah kumpulan rock Inggeris Bad Company, kumpulan hip-hop Outkast, penyanyi rock dan blues Joe Cocker serta duo rock garaj The White Stripes.
Majlis penghormatan rasmi akan berlangsung di Los Angeles pada 8 November dan disiarkan secara langsung menerusi Disney+.
Penerima dipilih berdasarkan undian peminat serta pakar industri muzik.
Untuk layak menerima penghormatan berkenaan, artis tersebut mesti telah mengeluarkan rakaman pertama mereka sekurang-kurangnya 25 tahun yang lalu.
Checker, kini berusia 83 tahun, dikenali kerana mempopularkan pelbagai gaya tarian termasuk twist dan limbo pada era 1960-an.
Bad Company, ditubuhkan pada tahun 1973, terkenal dengan lagu seperti "Feel Like Makin' Love" dan "Bad Company".
Penyanyi British Joe Cocker mencapai carta muzik dengan lagu seperti "You Are So Beautiful" dan "Up Where We Belong" (berduet bersama Jennifer Warnes), serta terkenal dengan versi lagunya yang legenda, "With a Little Help from My Friends" oleh The Beatles yang dipersembahkan di Woodstock.
Lauper, 71, mencuri perhatian pada era 1980-an dengan gaya rambut berwarna-warni, pakaian unik serta lagu-lagu rancak seperti "Girls Just Wanna Have Fun".
Soundgarden pula, sebahagian daripada gelombang grunge rock 1990-an di Seattle, diterajui oleh Chris Cornell yang meninggal dunia pada 2017.
Outkast, terkenal dengan lagu "Hey Ya!", ditubuhkan di Atlanta oleh Big Boi dan Andre 3000 pada 1992.
The White Stripes dari Detroit, pula mengetuai kebangkitan semula genre rock garaj pada tahun 2000-an.-REUTERS.