fb fb fb fb fb

PERMATA Seni Muzik bertanding di SRIMF 2024, Singapura

PERMATA Seni Muzik

KUALA LUMPUR, 18 JULAI- Buat julung kalinya PERMATA Seni Muzik (PSM) yang diselaraskan oleh Istana Budaya berjaya menyertai Festival Muzik Antarabangsa Raffles Singapura ke-10 (SRIMF) 2024 di Singapura mulai hari ini hingga 22 Julai depan.

PSM mempertaruhkan dua buah karya komposer barat terkenal ciptaan Felix Medelssohn untuk dipertandingankan iaitu String Symphony No.1 in C Major, 1st Mvt dan 3rd Mvt.

"Flag off (pelepasan) hari ini menjadikan detik bermakna buat PSM dan Istana Budaya ke Kota Singa bagi misi mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

"Delegasi kumpulan PSM bersama Istana Budaya ini dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Permata Malaysia (YPM).

"Ini merupakan peluang terbaik kepada pemuzik muda untuk menonjolkan bakat mereka, jaringan hubungan antara negara dan mengasah kemahiran muzik ke tahap antarabangsa," menurut Istana Budaya dalam kenyataan hari ini.

Ahli-ahli PSM terdiri daripada kanak-kanak berumur tujuh hingga 18 tahun yang mempunyai bakat dalam bidang muzik serta diberi pendedahan dan pembelajaran muzik klasikal menerusi latihan secara berkumpulan (String Ensemble/String Orchestra) oleh tenaga pengajar profesional dalam dan luar negara.

Seramai 15 orang anak-anak PSM akan bertanding di bawah kategori Instrumental Ensemble yang diketuai oleh Datuk Mustafar Fuzer Nawi, selaku konduktor untuk kumpulan itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Zubaidah Mukhtar menyatakan bahawa PSM merupakan program pembelajaran dan latihan seni muzik secara berstruktur yang bermula sejak dari tahun 2010 sehingga kini.

"Kami berasa bangga, Istana Budaya buat julung kalinya berjaya membawa anak-anak PSM yang berada di bawah kendalian Orkestra Simfoni Kebangsaan ini ke pentas antarabangsa untuk bertanding bagi mengharumkan nama Malaysia," katanya dalam kenyataan bersama.

PSM dahulunya dikenali sebagai GENIUS Seni Muzik dan dikembalikan semula kepada Program PERMATA Seni Muzik pada 2 Ogos 2023.

SRIMF 2024 yang berlangsung di Yong Siew Toh Conservatory of Music, Singapura merupakan acara pertandingan berprestij menampilkan pelbagai kategori muzik dan terbuka kepada pemuzik muda dari seluruh dunia berumur bawah 25 tahun.

Acara tersebut bukan sahaja platform pertandingan semata-mata, tetapi juga memberi peluang pembelajaran seperti masterclasses, konsert, seminar serta bengkel dan akan dikendalikan oleh pendidik muzik terkenal antarabangsa sepanjang festival berkenaan berlangsung.

1807 PERMATA SENI MUZIK
'Flag off' ahli-ahli PERMATA Seni Muzik ke Singapura hari ini

SITI AISHAH MD ISA