fb fb fb fb fb

Lee Joon Gi adakan konsert pertama di Malaysia 22 September depan

Poster Festival Lee Joon Gi di Malaysia

KUALA LUMPUR, 19 Julai- Pelakon dan penyanyi Korea Selatan serba boleh Lee Joon Gi bakal mengadakan pertemuan pertamanya bersama-sama peminat di Malaysia pada 22 September depan.

Persembahan itu akan diadakan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur bermula pukul 6.00 petang.

Lo-Fi Entertainment dalam satu kenyataan berkata, penonton berpeluang berinteraksi dengan Lee Joon Gi, selain menonton persembahan menarik daripada beliau yang terkenal dengan gerak tari dan vokal yang mengagumkan.

"Peminat yang sebelum ini hanya menonton lakonannya menerusi K-drama dan filem di skrin, kini anda dapat menatap wajahnya secara langsung.

"...dan ini juga merupakan penampilan sulungnya di Malaysia," katanya.

Persembahan itu merupakan anjuran Lo-Fi Entertainment dan Hit Maker Entertainment dengan Sliding Doors Entertainment selaku penganjur bersama.

Lee Joon Gi memulakan kerjayanya dalam bidang seni sebagai model dan mendapat peluang berlakon untuk watak kecil namun namanya mula menjadi popular selepas beliau melakonkan watak utama dalam filem 'The King and the Clown', diikuti dengan siri romantik komedi 'My Girl'.

Ia sekali gus menajdi batu loncatan yang melonjakkan namanya dalam industri hiburan Korea Selatan.

Selain itu Lee Joon Gi telah mengeluarkan beberapa lagu yang mempamerkan gaya yang berbeza serta mahir dalam seni mempertahankan diri dengan tali pinggang hitam dalam taekwondo, hapkido dan taekkyeon.

Bagaimanapun peminat boleh membeli tiket persembahannya pada 26 Julai ini yang akan dijual bermula pukul 12.00 tengah hari secara dalam talian.

Harga tiket dijual pada empat kategori iaitu RM358, RM538, RM668 dan RM798.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI