fb fb fb fb fb

Michelle Yeoh rangkul anugerah Oscar

(Tan Sri Michelle Yeoh memberi ucapan selepas menerima anugerah Oscar / AFP)

HOLLYWOOD, 13 Mac- Tan Sri Michelle Yeoh pada Ahad melakar sejarah apabila menjadi wanita Asia pertama memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik pada acara Anugerah Akademi ke-95 (Oscars 2023) menerusi filem Everything Everywhere All at Once.

Aktres itu menambat hati juri Akademi menerusi lakonan watak Evelyn Wang, seorang pemilik kedai dobi Cina-Amerika yang terperangkap dalam audit cukai, gagal dalam perkahwinan dan bergelut untuk berhubung dengan anak perempuannya, Joy.

Michelle dalam ucapannya mendedikasikan kemenangan paling manisnya itu kepada ibunya, Datin Janet Yeoh yang sentiasa disebut sebagai tulang belakang kejayaan beliau.

“Saya akan membawa pulang trofi ini kepada ibu saya yang sedang menonton di Kuala Lumpur, Malaysia bersama seluruh ahli keluarga dan rakan-rakan,” kata Michelle.

Aktres kelahiran Ipoh itu, mengetepikan Andrea Riseborough yang membintangi filem To Leslie; Cate Blanchett (Tar); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).

Sebelum ini, Michelle turut meraih trofi dalam beberapa acara anugerah termasuk Anugerah Golden Globe dan Screen Actors Guild Awards (SAG).

Artikel berkaitan:
Michelle Yeoh menang Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Screen Actors Guild
Michelle Yeoh rangkul Golden Globes
Filem Michelle Yeoh dan Cate Blanchett ungguli pencalonan Anugerah Spirit


Selain kategori Pelakon Wanita Terbaik yang dimenangi Michelle, filem Everything Everywhere All at Once turut meraih enam kategori lain pada Anugerah Akademi.

Ia termasuk Pengarah Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik yang disandang oleh Jamie Lee Curtis dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dimenangi Ke Huy Quan selain Lakon Layar Terbaik dan Suntingan Terbaik.

Pada acara kemuncak, filem tersebut turut dinobat selaku Filem Terbaik.

Menerusi gabungan aksi, jenaka dan drama yang unik, filem tersebut mengisahkan pengembaraan seorang pemilik kedai dobi berketurunan Cina Amerika yang bergelut dengan masalah percukaian sehingga didatangi agen Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (IRS). 


(Filem Everything Everywhere All at Once meraih trofi Filem Terbaik / AFP)


(Dari kiri, Ke Huy Quan, Michelle Yeoh, Brendan Fraser dan Jamie Lee Curtis pada 
Anugerah Akademi Tahunan ke-95 pada 12 Mac 2023 di Hollywood, California / AFP)

Berita berkaitan
Jamie Lee Curtis, Ke Huy Quan menang anugerah Oscar

Media Baharu