fb fb fb fb fb

Marche Du Film platform pasarkan produk animasi Malaysia

CANNES, 19 Mei - Penganjuran Marche Du Film di Perancis menjadi platform terbaik kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk mempromosi dan memperkenalkan produk animasi negara seperti Upin & Ipin, Ejen Ali, Boboiboy dan Batik Girl.

Animasi tempatan, Upin & Ipin misalnya cukup popular di Indonesia dan antara contoh produk animasi negara yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa serta telah memenangi pelbagai anugerah global.

Menurut Pengerusi MDEC, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad sebagai agensi peneraju yang menggalakkan lebih banyak penghasilan filem animasi, badan tersebut akan terus mempergiatkan promosi bagi membolehkan sektor animasi negara menembusi pasaran global.

"Marche Du Film di Perancis boleh menjadi platform untuk memasarkan produk animasi Malaysia.

"Negara mempunyai keupayaan dari segi teknologi dalam industri berkenaan selain mendapat promosi meluas oleh MDEC," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

(Pengerusi MDEC, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad)

Tambah beliau, pihaknya akan terus membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk memohon geran dan seterusnya menghasilkan lebih banyak filem animasi untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Marche Du Film adalah perhimpunan terbesar industri filem bagi pengeluar, pembiaya, penyiar, pengedar, pembekal dan pembeli dari seluruh dunia untuk bertemu, berkongsi idea serta membuat tawaran.

Sebanyak 250 syarikat dari 110 negara menyertai pasaran filem selama sembilan hari bermula 17 Mei lalu.

Laporan Mazliha Hamzah.

Media Baharu