KUALA LUMPUR, 26 Mei –Kumpulan gadis sensasi tanah air, DOLLA, kembali mencuri tumpuan industri muzik tempatan dan antarabangsa menerusi pelancaran single terbaharu mereka berjudul MWA!, yang menampilkan rentak eksperimental berinspirasikan Brazilian funk.
Selepas hampir setahun menyepi, kemunculan DOLLA kali ini menandakan satu fasa evolusi baharu dalam muzik mereka, yang turut menyasarkan pasaran global melalui pendekatan sonik dan visual yang segar.
Menurut ahli kumpulan, lagu MWA! merupakan kesinambungan kepada single terdahulu, DAMELO, namun ia hadir dengan elemen Latin yang lebih segar.
“Kami memang peminat muzik Brazil dan sangat mengagumi artis seperti Anitta. Dari situlah timbul inspirasi untuk menghasilkan lagu berasaskan Brazilian funk yang mampu menawarkan sesuatu yang baharu kepada pasaran muzik Malaysia,” ujar mereka.
Sejak pelancarannya, MWA! telah meraih pelbagai pencapaian membanggakan termasuk muncul di tangga ke-6 Carta RIM Malaysia dan mencatat lebih 1 juta tontonan di YouTube dalam tempoh beberapa minggu.
Single berkenaan turut mencetuskan fenomena di media sosial apabila trend tarian MWA! disambut meriah oleh peminat serta pencipta kandungan dari Brazil, Thailand, Amerika Syarikat, dan pelbagai negara lain.
Lebih menarik, video muzik MWA! turut ditayangkan secara eksklusif di papan iklan LED gergasi di Bukit Bintang sebagai sebahagian daripada strategi promosi kreatif kumpulan tersebut.
Sebagai kesinambungan, Dolla menganjurkan acara peminat bertemakan MWA! Heist, dengan edisi pertama berlangsung di Bukit Bintang, manakala edisi kedua diadakan di IOI City Mall, Putrajaya pada 25 Mei lepas.
Acara itu bukan sahaja memberi peluang kepada peminat untuk merasai pengalaman dunia muzik video MWA!, malah turut menampilkan aktiviti menarik seperti Random Dance Play dan pertandingan bakat DOLLA: Most Wanted Ace.
Pertandingan berkenaan membuka ruang kepada peminat untuk menunjukkan bakat dalam tarian, nyanyian, dan rap di hadapan pihak pengurusan tertinggi Universal Music Malaysia, dengan tiga peserta terbaik membawa pulang barangan eksklusif DOLLA.
Mengulas mengenai sambutan hangat daripada luar negara, kumpulan itu melahirkan rasa terharu, khususnya terhadap sokongan yang diterima dari Brazil.
“Kami amat teruja dan bersyukur atas komen-komen positif yang kami terima.
"Rakyat Brazil sangat baik dan menyokong. Sebagai peminat muzik Brazil, kami amat menghargai sambutan ini,” kata mereka.
Dengan trend tarian MWA! yang terus menjadi ikutan penari dan pencipta kandungan dari seluruh dunia, DOLLA kini membuktikan bahawa muzik Malaysia mampu merentasi sempadan dan menembusi pasaran antarabangsa.