KUALA PILAH, 18 Disember- Jenazah penyanyi terkenal era-80 an, Ibnor Riza Ibrahim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kasau Tengkek, Batu Kikir, Kuala Pilah kira kira pukul 10.40 malam tadi.
Menurut Isteri Allahyarham, Norhayati Mohamad Nor, Allahyarham meninggal dunia pada pukul 3.30 petang tadi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM).
"Kesemua ahli keluarga telah berada dan berkumpul di hospital apabila mendapati keadaan Allahyarham yang semakin kritikal apabila ditidurkan selepas menjalani pembedahan mengeluarkan air dalam kepalanya pada 2 Disember lalu.
"Doktor memberitahu Allahyarham cuma ada masa enam bulan untuk hidup disebabkan kansernya sudah berada di tahap empat. Tetapi kami bercakap kepada Allahyarham, kita perlu percaya dengan Rukun Iman yang pertama, Percaya Kepada Allah. Jadi kita serah pada Allah SWT, jadi Allah ambil juga dia dalam masa enam bulan, jadi hari ini," kata Norhayati kepada pemberita di sini.
Terdahulu,media melaporkan Allahyarham menghidap kanser limfoma tahap empat pada Mac lalu.
Lebih 200 ahli keluarga, saudara mara, rakan artis serta kenalan hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
"Namun begitu, saya rasa ini satu benda yang baik daripada beliau menanggung kesakitan yang agak lama. Saya rasa ini adalah satu anugerah tuhan, pergi dengan mudah dan cepat," kata rakan artis, Ameng Spring.
"Kita kehilangan seorang penyanyi pop yang baik. Ia satu kehilangan yang besar dalam industri ini, kata rakan artis, Datuk Hattan.
"Kami di Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) rasa sangat berdukacita, rasa amat sedih di atas satu kehilangan yang besar dalam industri seni negara," kata Pengerusi KARYAWAN Negeri Melaka, Datuk Zainal Abu Bakar.
Artikel Berkaitan:
Fahmi Fadzil ucap takziah kepada keluarga Ibnor Riza
Penyanyi 80-an Ibnor Riza meninggal dunia
Ibnor Riza hidap kanser limfoma, Persatuan Karyawan hulur sumbangan