fb fb fb fb fb

Ibnor Riza hidap kanser limfoma, Persatuan Karyawan hulur sumbangan

(Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez menyerahkan sumbangan kepada Ibnor)

PORT DICKSON, 30 Mac- Penyanyi popular era 1980-an, Ibnor Riza yang menghidap penyakit kanser limfoma tahap empat kini menjalani rawatan berkala di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Bagi rawatan kanser itu, beliau perlu menjalani lapan kali rawatan kimoterapi. 

Jelasnya, kawalan emosi sangat penting waktu ini untuk beliau terus kuat berjuang melawan penyakit tersebut.

"Saya amat gembira  kerana ada inisiatif  daripada Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) ada juga dari persatuan lain seperti yayasan kebajikan Artis Malaysia, Yayasan Artis Veteran Malaysia yang sudi bertanya khabar membuat sumbangan untuk saya dan saya rasa amat terhutang budi dan rasa amat dihargai," katanya.


(Penyanyi, Ibnor Riza)

Sementara itu, Persatuan Karyawan turut mengambil kesempatan menghulurkan sumbangan buat pendendang lagu Mimpi Yang Tak Sudah itu, bagi meringankan beban yang ditanggung.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, pihaknya komited dalam memastikan dana buat penggiat seni tanah air dapat membantu meringankan beban ahlinya.

"Inilah cara kita berterima kasih tunjukkan kesyukuran kita kepada beliau  atas semua sokongan semasa beliau memerlukan kawan kita berada di sisi beliau, jadi kita harap beliau akan teruskan dengan rawatan dan cepat pulih dan mulakan balik aktiviti seni dia dan teruskan kerjaya dan karyanya sebagai seorang penyanyi di negara ini," ujarnya.

Pada 19 Februari lalu, Ibnor dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan selepas pengsan di rumahnya.

Sebelum itu, dia tiba-tiba diserang pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, tahap kolestrol tinggi, buasir, darah tinggi dan migrain yang teruk.

Ibnor mendapat tahu tentang keadaanya itu selepas melakukan pemeriksaan doktor akibat bengkak pada leher yang dialami.

Media Baharu