fb fb fb fb fb

Diana Danielle fail cerai terhadap Farid Kamil

(FOTO BERNAMA)

PETALING JAYA, 20 Mac- Selepas hampir 11 tahun mendirikan rumah tangga, pelakon Diana Danielle telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya yang juga pelakon iaitu Farid Kamil di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari dekat sini.

Diana, atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, selaku plaintif memfailkan permohonan itu pada 10 Mac lepas menerusi Tetuan Akberdin & Co dan menamakan Farid, atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, 42, sebagai defendan.

Permohonan cerai itu dikemukakan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Pelakon utama filem Imaginur itu memfailkan permohonan tersebut atas alasan tiada persefahaman dan berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan serta tidak lagi mampu hidup bersama sebagai suami isteri.

Peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Diana, ketika dihubungi mengesahkan anak guamnya memfailkan permohonan itu.

Beliau berkata semasa prosiding di hadapan Hakim Syarie Shukran Yusof hari ini, kedua-dua pihak diarah melalui proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) selepas Farid enggan melafazkan cerai. 


(FOTO BERNAMA)

Katanya mahkamah menetapkan 28 Mac ini sebagai sebutan kes.

Farid, yang popular dengan filem Remp-IT dan Lagenda Budak Setan, diwakili peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan.

Farid dan Diana yang sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz pada 3 Nov 2012 dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.-BERNAMA

Media Baharu