fb fb fb fb fb

Istana Budaya, UKM anjur Konsert Gegar Kembara Muzik Tradisional, Sabtu ini

(POSTER KONSERT)

KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Istana Budaya dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menganjurkan Konsert Gegar Kembara Muzik Tradisional di Dewan Canselor Tun Abdul Razak kampus Bangi pada 14 Oktober ini.

Konsert berskala mega itu bakal menampilkan artis antaranya Shiha Zikir, Nadeera Zaini dan Putera Muhammad dengan mempersembahkan lagu terkini gubahan genre muzik orkestra tradisional antaranya Kembali Terang, Casablanca dan Kalam.

Menurut kenyataan Istana Budaya, turut ditampilkan pada konsert berkenaan ialah persembahan tarian tradisional oleh Artistana Istana Budaya serta dimeriahkan dengan Artisukma UKM, kumpulan dikir barat, kumpulan koir dan Ensemble Cak Lempung oleh mahasiswa UKM.

Pengarah Muzik Yazid Zakaria dalam kenyataan sama berkata konsert itu merupakan kesinambungan jalinan kerjasama strategik Istana Budaya bersama institut pengajian tinggi awam dan swasta seperti Management and Science University yang berlangsung pada 23 dan 24 Mei lepas dan Universiti Pendidikan Sultan Idris, 24 Jun lepas.

“Bagi mengangkat muzik tradisional ke tahap cemerlang, kita berusaha untuk mendekati pelbagai lapisan masyarakat khususnya generasi muda melalui persembahan dan nyanyian oleh artis BBNU agar terus diminati, dihargai dan tidak ditelan zaman,” katanya.

Warga kampus dan orang awam yang berminat untuk menyaksikan konsert bermula pukul 8 malam itu boleh mendapatkan tiket dengan harga serendah RM11.50 yang telah dijual melalui portal https://www.ticket2u.com.my/. 

rtm
(POSTER KONSERT)

Media Baharu