fb fb fb fb fb

Forum Antirasuah, tingkat kefahaman penggiat industri kreatif - PFM

Foto FB SPRM

HULU KELANG, 1 Jun- Lebih 50 orang penggiat industri kreatif negara menghadiri Forum Antirasuah bertempat di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Kelang, Selangor.

Program yang julung kali diadakan itu merupakan inisiatif Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Presiden PFM, Pansha, program itu antara lain bertujuan meningkatkan kefahaman berkaitan fungsi dan bidang kuasa SPRM dalam industri penerbitan filem khususnya dalam mengendalikan geran serta pengagihan Dana Kandungan Digital (DKD).

Ia menyasarkan golongan pengurusan dan urus tadbir dalam industri penerbitan filem supaya dapat memberi kesedaran tentang kesan jenayah rasuah dalam industri penerbitan filem terutama membabitkan kronisme dan hubungan jaringan.

Forum sehari itu juga diharap mendapat sokongan daripada penggiat industri, menjadi sebagai mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat berkaitan rasuah.

Tambah Pansha, menerusi program tersebut beliau ingin menanam sifat tanggungjawab dalam kalangan masyarakat bahawa pembanterasan jenayah rasuah adalah tanggungjawab bersama.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM