JAKARTA, 13 April-Rakyat Indonesia kini berpusu-pusu ke pawagam untuk menonton filem-filem genre seram tempatan yang mengangkat kisah-kisah hantu dan makhluk halus warisan budaya negara itu.
Genre berkenaan kini menguasai pawagam Indonesia selepas cerita rakyat yang menjadi inspirasi utama membantu menghidupkan semula industri perfileman yang hampir lenyap pada awal abad ke-21.
Menurut Lembaga Filem Indonesia (BPI), sebanyak 60 peratus daripada 258 filem yang dihasilkan secara domestik pada tahun 2024 merupakan filem seram.
Filem-filem ini menyumbang kepada penjualan 54.6 juta tiket atau 70 peratus daripada jumlah keseluruhan penonton.
Menurut syarikat produksi Studio Antelope yang berpangkalan di Jakarta, industri filem Indonesia menyusut secara drastik pada era 1990-an akibat kekurangan dana.
Pusat arkib dan data filem, Sinematek Indonesia, merekodkan hanya 456 filem diterbitkan antara tahun 1990 hingga 2000.
“Daripada jumlah itu, hanya 37 adalah filem seram,” kata Wahyudi, 55, pekerja arkib Sinematek.
Namun, industri tersebut mencatat sejarah apabila meraih rekod dunia Guinness dua tahun lalu sebagai pengeluar filem seram paling banyak.
Pada tahun lalu, pengendali pawagam terbesar Indonesia, XXI, melaporkan lima daripada sepuluh filem terlaris adalah filem seram, dengan jualan tiket mencecah 27.8 juta.
Menurut Pensyarah Kajian Filem di Universiti Bina Nusantara, Jakarta, Ekky Imanjaya, filem seram pertama Indonesia diterbitkan pada tahun 1971 di bawah pemerintahan Presiden Suharto yang memimpin negara selama hampir tiga dekad.
“Ibu bapa dan datuk nenek kita menggunakan kisah-kisah ini untuk menakutkan kita.
“Kisah-kisah ini sangat dekat dengan diri kita", katanya.
Jelas Ekky, hanya pada era 2010-an barulah “gelombang baharu bermula” bagi industri filem tempatan.
Pengarah-pengarah baharu, terutamanya Joko Anwar, “mengubah segalanya dengan menghasilkan filem seram bebas berkualiti tinggi,” kata pengarah dari Yogyakarta, Ismail Basbeth, 39.
Selepas pandemik Covid-19, industri kembali rancak dengan filem KKN di Desa Penari yang diterbitkan pada tahun 2022 dan mencatat jualan lebih 10 juta tiket.
Filem itu diadaptasi daripada kisah benar mengenai pelajar yang mengalami gangguan ghaib semasa mengikuti program khidmat masyarakat di sebuah kampung.
“Ia mencetuskan gelombang baharu filem yang lebih realistik, berasaskan kisah sebenar,” kata pengarah Nanang Istiabudi, 53.
Pawagam Indonesia mencatat pendapatan kasar AS$136 juta pada tahun 2022 menurut laman sesawang Filem Indonesia.
Firma PwC Indonesia menganggarkan industri pawagam menyumbang berbilion dolar kepada ekonomi negara pada tahun tersebut, dan dijangka berkembang lebih enam peratus setahun hingga 2027.
Lonjakan itu turut membuka ruang kepada program khas di Festival Filem Antarabangsa Busan 2023 bertajuk “Kebangkitan Semula Sinema Indonesia”.
Selain legenda dan mitos rakyat, filem seram Indonesia turut menampilkan elemen keagamaan yang mencerminkan identiti negara Islam terbesar dunia itu.
Sesetengah filem menyelitkan petikan ayat al-Quran atau keseluruhan jalan cerita yang diinspirasikan daripada ajaran Islam.
Minat rakyat Indonesia terhadap filem seram serta keterujaan penonton antarabangsa menjadi faktor pakar percaya genre unik ini akan terus berkembang.
“Filem Indonesia berjaya di luar negara kerana ia unik, eksotik dan sukar dibayangkan,” kata Ekky.
“Penonton filem seram sentiasa mencari sesuatu yang tidak diketahui", jelasnya.-AFP.