fb fb fb fb fb

RTM tayang “Badai Semalam”, naskhah sarat emosi dan realiti sosial

Drama bersiri adaptasi daripada novel terkenal “Badai Semalam” karya Khadijah Hashim kini menghiasi slot utama di saluran Okey dan RTMKlik / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 11 April – Drama bersiri adaptasi daripada novel terkenal “Badai Semalam” karya Khadijah Hashim kini menghiasi slot utama di saluran Okey dan RTMKlik, sejak mula ditayangkan pada 8 April lalu, setiap hari pukul 8.00 malam.

Diarahkan oleh Osman Ali, drama 26 episod itu dibintangi pelakon popular Sweet Qismina, Adam Lee dan Halim Radzi, serta menjanjikan jalan cerita penuh konflik, kasih sayang dan perjuangan seorang wanita muda dalam mengejar hak serta cinta sejatinya.

Mengisahkan Mazni, anak kepada seorang pembantu rumah, Bibah, yang bekerja dengan keluarga bangsawan Tuan Harris dan Puan Rohana, drama tersebut memaparkan realiti getir masyarakat marhaen, terutama isu kewarganegaraan, kehilangan hak, serta jurang sosial.

Mazni yang dibesarkan oleh ibunya setelah kematian ayahnya, berdepan diskriminasi kerana status bukan warganegara walaupun dilahirkan di Malaysia. Dia bersahabat baik dengan Zaki, yang sejak kecil sentiasa membantunya dan berjanji menyelesaikan isu kerakyatan Mazni.

Sambil meneruskan pengajian dan bekerja separuh masa, Mazni aktif membantu anak-anak gelandangan dan anak tidak sah taraf di Kuala Lumpur, termasuk Zuhal dan Angela yang menyimpan kisah hidup menyayat hati.

Namun, hidup Mazni berubah apabila Karim, anak kepada majikan ibunya yang terkenal dengan gaya hidup mewah, mula jatuh cinta kepadanya. Perhubungan mereka mengundang konflik terutama daripada ibu Karim, Puan Rohana, yang tidak dapat menerima hubungan anaknya dengan anak orang gaji.

Walau dihimpit pelbagai cabaran termasuk fitnah mengandung, tentangan keluarga, serta krisis rumah tangga, Mazni tetap tabah meneruskan kehidupan. Perkahwinannya dengan Karim diuji apabila muncul bekas kekasih lama dan rakan-rakan yang mempengaruhi Karim kembali kepada gaya hidup lama.

Konflik memuncak apabila Mazni dipukul Karim dan nekad menuntut cerai. Karim yang kecewa, terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia. Selepas tragedi itu, dengan sokongan Zaki yang kini bergelar doktor pelatih, Mazni menubuhkan pondok ilmu untuk anak-anak jalanan.

Namun, di sebalik kejayaan itu, hatinya masih bergelut untuk menerima kehadiran Zaki sebagai pengganti cinta lamanya.

Drama tersebut bukan sekadar kisah cinta tiga segi, namun menyentuh isu sosial, perjuangan wanita, dan nilai kasih sayang yang mendalam. Persoalan besar yang ditinggalkan – masihkah ada jodoh antara Mazni dan Zaki?

Untuk mengetahui kesudahannya, penonton boleh terus mengikuti “Badai Semalam” setiap hari di saluran Okey dan RTMKlik.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN