fb fb fb fb fb

Fajar Noor bawa mesej cinta dalam "Tahta Hatiku #Pendampingmu"

Fajar Noor

KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Penyanyi muda bersuara lunak, Fajar Noor, yang berjaya mencuri perhatian jutaan peminat apabila meraih tempat kedua dalam program realiti Indonesia, kini mengorak langkah ke Malaysia menerusi kunjungan promosi pertamanya di Kuala Lumpur.

Kehadiran Fajar Noor selama tiga hari bermula 3 Ogos sehingga semalam itu disambut meriah oleh peminat tempatan.

"Tahta Hatiku #Pendampingmu", yang membawa mesej mengenai cinta, merupakan single sulungnya hasil ciptaan komposer terkenal Indonesia, Yovie Widianto, dengan lirik oleh Arsy Widianto.

Fajar Noor berkata, dengan kekuatan lirik yang emosional menjadikan lagu berkenaan menyentuh hati pendengar segenap usia.

"Lagu ini mengenai mencintai dalam diam. Kadang, kita tak selalu dapat bersama orang yang kita sayang, tapi kita tetap ada untuk mereka. Saya percaya ramai orang pernah melalui perasaan itu,” katanya kepada RTM di sini.

Menurutnya lagi, mesej yang disampaikan dalam lagu itu juga mencerminkan sisi peribadinya yang tidak begitu gemar mengekspresikan cinta secara terbuka, sebaliknya melalui karya dan nyanyian.

"Sebagai penyanyi baharu, saya mahu karya saya berbicara lebih kuat daripada kata-kata saya sendiri. Saya tak sangka sambutan lagu ini begitu positif di Indonesia, dan saya harap ia turut mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

"Saya ingin membina hubungan yang kuat dengan peminat di Malaysia. Ini baru permulaan. Saya pasti akan kembali dengan lebih banyak lagu dan persembahan selepas ini," katanya lagi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM