KUCHING, 1 Disember- Pasangan mewakili Zon Tengah, Danie Hasbullah Mohd Razi dan Nabilah Mohammad dinobatkan sebagai Juara pada Kemuncak Pertandingan Bintang P.Ramlee anjuran RTM Sarawak yang berlangsung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya malam tadi.
Dalam segmen pertama, Danie Hasbullah mempersembahkan lagu Apabila Kau Tersenyum sebelum beliau bersama pasangan Nabilah Mohammad mendendangkan lagu duet, Senandung Kasih dalam segmen kedua.
Menurut kedua-dua pasangan tersebut, kemenangan yang diraih adalah diluar jangkaan apalagi menerima saingan hebat daripada para peserta lain.
"Saya tidak menyangka yang saya menjadi juara pada malam ini, sebab pada hakikatnya saya merasakan sama ada peserta Zon Timur, Utara ataupun Selatan yang akan berada di kedudukan tiga terbaik," kata Danie Hasbullah.
"Ini merupakan kali kedua saya menyertai sehingga peringkat kebangsaan dan saya rasa persiapan saya dengan Danie, sangat sederahana, tidak banyak sangat latihan cuma kami ada strategi sendiri, maksudnya daripada segi pemilihan lagu dan kami ada berjumpa sekali sekala untuk berlatih," kata Nabillah Mohammad.
Selaku juara, Danie dan Nabilah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 beserta piala.
Naib juara dimenangi oleh pasangan Zon Timur, M.D Wahidul Zaman Bahrudin dan Farasuzilawani Roslie yang membawa pulang RM15,000 serta piala, manakala pasangan dari Zon Sarawak, Ahmady Mohd Sapuan dan Nurhamimah Bohan meraih RM10,000 beserta piala di kedudukan ketiga.
Pertandingan Peringkat Akhir Bintang P.Ramlee kali ini menampilkan penyertaan tujuh pasangan mewakili Zon Utara, Zon Tengah, Zon Selatan dan Zon Timur, selain Zon Sabah, Sarawak serta penyertaan daripada Republik Indonesia.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono hadir menyaksikan Kemuncak Bintang P.Ramlee 2024 yang turut disiarkan secara langsung di saluran RTM TV2, Saluran Radio Klasik dan SarawakFM.
Hadir sama, Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia, Datuk Hanifah Hajar Taib, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Strategik Jabatan Penyiaran Malaysia, Nasaruddin Abdul Muttalib, Pengarah Bahagian Program Radio, Saifuzzaman Yusop dan Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Sarawak, Wan Azhan Wan Hamat.
Selain persembahan yang memukau daripada para peserta pertandingan, penonton turut disajikan dengan persembahan khas daripada artis-artis jemputan, diantaranya Noryn Aziz, Jaclyn Victor, Juara Bintang RTM 2024 - Roxy Ixzy, Juara Tok! Buskers Challenge 2023 - Adruce Azman dan Juara Bintang P. Ramlee 2022 - Ameerezul Maula.