KUALA LUMPUR, 29 November - Tiga kumpulan rock dari dua negara serumpun Malaysia dan Indonesia bakal mengadakan konsert 'ROXtheNATION' sebagai membuka tirai tahun 2025.
Konsert itu akan berlangsung di Menara Kuala Lumpur pada 25 Januari tahun depan.
Julung kalinya, konsert tersebut mempertemukan legenda rock terkenal Man Keedal (Waris), Jo Branko (Barbarik), dan Eet Sjahranie (EdanE) dalam satu pentas.
Konsert ROXtheNATION bukan sekadar hiburan tetapi juga membawa misi tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Pengerusi Pprojek Ellie G, menyifatkan ROXtheNATION sebagai impian lama yang akhirnya menjadi kenyataan.
"Kolaborasi ini mempertemukan legenda muzik rock dua negara, yang telah bertahan lebih empat dekad dalam industri. Dengan semangat dan sentuhan luar biasa mereka, konsert ini bakal menjadi pembuka tirai 2025 yang menggegarkan," katanya dalam sidang media di Menara Kuala Lumpur.
"Kehadiran ketiga-tiga mereka di pentas sama bakal mencipta magis dan menyatukan peminat rock dari kedua-dua negara,” tambah Ellie G.