KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Penerbit industri seni tempatan boleh mendapatkan pembiayaan untuk projek penerbitan mereka menerusi kerjasama strategik Persatuan Penerbit Filem Malaysia (FDAM) dan TEKUN Nasional.
Kerjasama itu membolehkan ahli persatuan menikmati kemudahan pembiayaan patuh syariah, sekali gus menyokong pembangunan projek penerbitan tempatan.
Pengerusi FDAM, Dato’ Afdlin Shauki berkata, kerjasama itu memberi peluang kepada ahli persatuan memohon Pembiayaan Skim Kontrak-i dan Skim Tekun Niaga, yang diyakini dapat membantu mengatasi kekangan modal yang sering menjadi cabaran utama penggiat industri.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kepimpinan FDAM dalam memperjuangkan kepentingan ahli serta memastikan kesinambungan karya penerbit tempatan. FDAM amat memahami kesukaran ahli memperoleh pembiayaan.
Maka, kerjasama ini hadir tepat pada masanya sebagai sinar baharu buat penggiat industri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jelas Dato’ Afdlin kemudahan pembiayaan patuh syariah itu bukan sahaja menjamin ketelusan urus niaga, malah membolehkan ahli FDAM menumpukan sepenuhnya kepada penghasilan karya bermutu, berdaya saing dan mempunyai nilai komersial lebih tinggi.
Beliau turut menegaskan bahawa akses kepada skim strategik ini dijangka memperkukuh integriti produksi serta meningkatkan keupayaan penerbit tempatan dalam industri perfileman dan penyiaran negara.
“FDAM percaya, kerjasama dengan TEKUN Nasional ini akan menjadi pemangkin kepada kelangsungan projek jangka panjang, sekali gus mengangkat martabat penggiat seni tanah air sebagai penerbit yang profesional dan berwibawa,” ujarnya.