KUALA LUMPUR, 4 Oktober - Kerajaan bersedia mempertimbangkan permintaan bagi memberikan peruntukan tetap kepada Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) dalam usaha menjaga kebajikan artis tempatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.
Menurut beliau, kerajaan sentiasa komited membantu rakyat termasuk pemain industri kreatif, selaras dengan pengenalan Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 yang memberi perhatian sewajarnya kepada artis dan penggiat seni tempatan.
“Bagi pihak kerajaan, saya ingin memberikan komitmen terhadap perkara ini kepada pemain industri bahawa kita akan membantu,” katanya ketika melancarkan Konsert Budi Kasih Malaysia 2025 yang dianjurkan YKAT di ibu negara malam tadi.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad serta Pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menggesa badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan individu agar bersama-sama memainkan peranan menyokong kebajikan artis di negara ini.
Sementara itu, DJ Dave dalam ucapannya menyeru kerajaan meningkatkan sokongan kewangan kepada yayasan tersebut, khususnya bagi membantu artis veteran serta mereka yang berdepan masalah kesihatan.
Pada majlis berkenaan, Ahmad Zahid turut menyampaikan Anugerah Ikon Seni kepada tiga penerima iaitu Datuk David Arumugam (penyanyi), Man Kidal (pemuzik) dan Margaret Gan (pelakon).