KUALA LUMPUR, 23 Februari- Piala Belia 2022 akhirnya membuka tirai hari ini selepas dua tahun tertangguh akibat penularan pandemik COVID-19.
Namun begitu, Perak FC dan Kelantan FC tidak akan beraksi sementara perlawanan Selangor FC menentang Johor Darul Ta'zim IV ditangguhkan ke tarikh baharu.
Bagi Kumpulan A, hanya satu perlawanan sahaja yang akan memulakan saingan melibatkan Kelantan United FC menentang Kedah Darul Aman FC.
Sementara itu, penyertaan Perak FC ditolak kerana tidak melengkapkan pendaftaran pemain dan pegawai, sementara Kelantan FC sah menarik diri.
Bagi Saingan Kumpulan B pula, hanya DUA perlawanan akan berlangsung iaitu pasukan UiTM FC bertemu Melaka United FC manakala Akademi Mokhtar Dahari, AMD B16 bertemu Negeri Sembilan FC.
Susulan terdapat isu teknikal yang tidak dapat dielakkan, perlawanan di antara Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim empat terpaksa ditunda.
Aksi Kumpulan C pula bakal menyaksikan kesemua enam pasukan akan turun memulakan cabaran musim ini seperti yang dijadualkan.
Piala Belia 2022 menggunakan format 'home dan away' bermula dari 23 Februari hingga 17 Julai 2022 dengan dua pasukan terbaik setiap kumpulan dan dua pasukan tempat ketiga terbaik kumpulan akan layak ke Suku Akhir.
Pasukan bertanding kemudiannya akan melalui peringkat separuh akhir pada 7 dan 14 Ogos sebelum aksi Final pada 21 dan 28 Ogos 2022.