fb fb fb fb fb

Bintang Hollywood ketuai mogok industri hiburan

(Pelakon Bryan Cranston berucap di  perhimpunan mogok di Times Square New/AFP)

NEW YORK, 26 Julai- Barisan bintang ternama Hollywood termasuk penerima Anugerah Emmy, Bryan Cranston dan sekumpulan pemenang Oscar mengetuai demonstrasi mogok industri hiburan di Times Square New York, ketika tuntutan yang dikemukakan kepada studio perfileman dan syarikat penstriman terus buntu.

Antaranya penerima Anugerah Akademi; Brendan Fraser, Jessica Chastain dan F. Murray Abraham.

Operasi penerbitan filem dan televisyen di Amerika Syarikat terhenti sejak beribu-ribu ahli kesatuan sekerja Screen Actors Guild (SAG-AFTRA) berhenti kerja pada 14 Julai, menyertai penulis yang telah melancarkan mogok selama berminggu-minggu.

Mereka menuntut gaji dan jaminan pekerjaan lebih baik, serta perlindungan terhadap ancaman yang ditimbulkan oleh kecerdasan buatan (AI) ketika mereka meneruskan mogok pertama industri hiburan dalam tempoh 63 tahun.

"Kami tidak setuju kerja kami diberikan kepada robot," kata bintang "Breaking Bad" Cranston kepada para hadirin, merujuk kepada kebimbangan tentang AI digunakan untuk mencipta semula rupa pelakon.

Dikelilingi oleh skrin gergasi Times Square yang sering mengiklankan filem dan siri penstriman terbaharu, Cranston menujukan mesej itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Disney, Bob Iger yang menjadi sasaran kemarahan para pelakon.


(Penyokong Screen Actors Guild (SAG-AFTRA) bersorak di perhimpunan mogok di Times
Square/AFP)

"Kami tidak akan membiarkan anda mengambil hak kami untuk bekerja dan mencari nafkah yang baik. Akhir sekali dan yang paling penting, kami tidak akan membenarkan anda mengambil maruah kami," tegas beliau.

Abraham yang terkenal kerana memenangi Anugerah Akademi untuk lakonannya dalam filem 1984 "Amadeus" berkata kesatuan adalah "baik untuk Amerika."

"Kami berjuang untuk integriti, rasa hormat dan kehormatan," kata lelaki berusia 83 tahun itu, yang baru-baru ini membintangi siri hit televisyen "The White Lotus."

Steve Buscemi dan Christian Slater juga antara peeeta demonstrasi.

SAG-AFTRA mewakili pelakon daripada bintang mega hingga pelakon yang memainkan watak kecil dalam siri televisyen. Ia mewakili kira-kira 160,000 orang, termasuk pelakon lagak ngeri dan penari. -AFP

Media Baharu