
KINSHASA, 3 September – Angka kematian akibat wabak Ebola yang sedang melanda Republik Demokratik Congo (DRC) kini melebihi 3,000 orang, dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran masih wujud rantaian jangkitan yang belum dikesan.
- Wabak menjejaskan 60 zon kesihatan di enam wilayah termasuk Ituri, North Kivu, Haut-Uele, Tshopo, South Kivu dan Bas-Uele.
- Wilayah Ituri kekal sebagai pusat wabak, menyumbang 81.9 peratus daripada keseluruhan kes yang disahkan di negara itu.
- Lebih 40 petugas kesihatan maut dan serangan terhadap pusat rawatan serta ambulans menjejaskan usaha tindak balas perubatan.
Menurut laporan situasi rasmi, setakat 31 Ogos, DRC merekodkan 6,186 kes disahkan dan 3,007 kematian.
Seramai 1,409 pesakit dilaporkan pulih, manakala 830 lagi masih menjalani pengasingan atau menerima rawatan di pusat rawatan Ebola.
Wabak itu telah menjejaskan 60 zon kesihatan di enam wilayah, iaitu Ituri, North Kivu, Haut-Uele, Tshopo, South Kivu dan Bas-Uele.
Wilayah Ituri kekal sebagai pusat wabak dengan menyumbang 81.9 peratus daripada keseluruhan kes yang disahkan di negara itu.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, wabak Ebola kali ini merebak lebih pantas berbanding mana-mana wabak Ebola sebelum ini di DRC.
Beliau berkata, masih terdapat rantaian jangkitan yang belum dikenal pasti, termasuk kematian membabitkan individu yang tidak tersenarai sebagai kontak rapat pesakit.
“Selagi setiap rantaian jangkitan belum dikenal pasti dan diputuskan, wabak ini akan terus merebak,” katanya pada sidang media pada Rabu.
Dalam taklimat dalam talian pada Selasa, Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hal Ehwal Kemanusiaan, Tom Fletcher berkata, penularan virus itu masih lebih pantas berbanding usaha tindak balas yang dipertingkatkan.
Beliau menggesa usaha menangani wabak dipertingkatkan dengan segera bagi mengelakkan lebih banyak kematian dan mengawal ancaman penularan.
Fletcher turut mendedahkan lebih 40 petugas kesihatan maut akibat Ebola ketika membantu menangani wabak berkenaan.
Pusat rawatan dan ambulans turut menjadi sasaran serangan, sekali gus menjejaskan usaha pasukan perubatan untuk memberikan rawatan kepada pesakit.
Wabak semasa yang diisytiharkan pada Mei lalu kini menjadi wabak Ebola terbesar dan paling dahsyat pernah direkodkan di DRC.
Ia juga merupakan wabak Ebola kedua terbesar di dunia selepas wabak yang melanda Afrika Barat antara 2014 hingga 2016. – REUTERS