
TRIPOLI, 26 September – Sekurang-kurangnya seorang maut manakala 79 lagi cedera selepas hujan lebat dan banjir kilat melanda bandar Mizdah, kira-kira 165 kilometer di selatan ibu negara Libya, Tripoli, lapor Xinhua memetik media tempatan pada Jumaat.
- Hujan lebat dan banjir kilat melanda Mizdah serta beberapa kawasan barat dan tengah Libya, menenggelamkan kediaman dan menutup beberapa jalan utama.
- Operasi menyelamat dan pemindahan penduduk dijalankan; Perkhidmatan Ambulans Udara dipanggil untuk memindahkan mangsa di Al-Shqaiqah ke kemudahan perubatan.
- Kerajaan arahkan perkhidmatan kecemasan tingkat kesiapsiagaan; pihak berkuasa dan meteorologi beri amaran elak lembah, kawasan rendah dan jalan yang ditenggelami air.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai seorang pejalan kaki yang meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Besar Mizdah, menurut saluran televisyen Libya Al-Masar.
Hujan lebat dan banjir kilat melanda Mizdah serta beberapa kawasan di barat dan tengah Libya sejak malam Khamis, menenggelamkan kawasan kediaman dan menyebabkan beberapa jalan utama ditutup.
Operasi menyelamat dan pemindahan penduduk sedang dijalankan.
Kerajaan Perpaduan Nasional pada pagi Jumaat mengarahkan Perkhidmatan Ambulans Udara memindahkan penduduk yang terjejas akibat banjir di perbandaran Al-Shqaiqah, kira-kira 170 kilometer di selatan Tripoli.
Mereka yang memerlukan rawatan atau pemindahan turut dibawa ke kemudahan perubatan khusus.
Kerajaan juga mengarahkan perkhidmatan kecemasan meningkatkan tahap kesiapsiagaan susulan jangkaan hujan lebat dan banjir yang berterusan di beberapa kawasan.
Pihak berkuasa tempatan menggesa penduduk menjauhi kawasan lembah, kawasan rendah serta jalan yang ditenggelami air, selain mengelakkan perjalanan yang tidak perlu.
Beberapa bahagian Libya kini berdepan cuaca tidak menentu, dengan hujan lebat dan ribut petir dilaporkan di beberapa kawasan.
Pusat Meteorologi Kebangsaan turut memberi amaran mengenai aliran air berterusan di kawasan lembah serta risiko banjir kilat di kawasan rendah.- BERNAMA-XINHUA