
TEHRAN, 3 April – Sekurang-kurangnya lapan orang awam terbunuh manakala 95 lagi cedera dalam serangan udara oleh Amerika Syarikat dan Israel yang menyasarkan sebuah jambatan di wilayah Alborz, utara Iran, pada Khamis.
- Jambatan B1 di Karaj ialah antara struktur tertinggi dan projek kejuruteraan kompleks di negara ini.
- Jambatan dilaporkan diserang dua kali menggunakan peluru berpandu.
- Presiden AS memuat naik video serta mengancam serangan lebih besar; Menteri Luar Iran mengecam serangan mensasarkan infrastruktur awam.
Menurut agensi berita rasmi IRNA, jambatan B1 yang terletak di bandar Karaj itu merupakan antara struktur tertinggi dan projek kejuruteraan kompleks di negara tersebut.
Jambatan berkenaan dilaporkan diserang dua kali menggunakan peluru berpandu.
Timbalan Gabenor Alborz bagi hal ehwal politik, keselamatan dan sosial, Qodratollah Seif berkata, mangsa terdiri daripada penduduk kampung Bileqan, penumpang serta keluarga yang berkumpul berhampiran sempena sambutan Hari Alam Semula Jadi, perayaan tradisi Iran yang menandakan berakhirnya Nowruz.
Beliau menegaskan tiada sebarang aktiviti ketenteraan di kawasan sekitar, selain memaklumkan jambatan tersebut masih dalam pembinaan dan dijadual dirasmikan dalam masa terdekat.
Mangsa yang cedera telah dihantar ke pusat perubatan berhampiran untuk rawatan, dengan sebahagian daripada mereka dimasukkan ke hospital.
Dalam perkembangan sama, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memuat naik video memaparkan asap tebal dari lokasi kejadian di platform Truth Social, beberapa jam selepas mengancam untuk melancarkan serangan lebih besar terhadap Iran.
Terdahulu, Trump mendakwa konflik yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel hampir berakhir, namun memberi amaran serangan lebih hebat akan dilakukan sekiranya Iran tidak memenuhi tuntutan mereka.
Sementara itu, Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi mengecam serangan berkenaan, menyifatkannya sebagai tindakan mensasarkan infrastruktur awam.
“Serangan ke atas struktur awam tidak akan memaksa rakyat Iran menyerah kalah, sebaliknya mencerminkan kelemahan moral pihak lawan,” katanya.
Beliau turut menegaskan kemusnahan bangunan boleh dibina semula, namun kerosakan terhadap reputasi antarabangsa tidak mudah dipulihkan.-REUTERS