
TOKYO, 3 Februari – Salji lebat luar biasa melanda Jepun menyebabkan sekurang-kurangnya kematian 30 individu dalam tempoh 20 Januari hingga Selasa.
- Kematian 30 orang dilaporkan akibat salji tebal dalam tempoh 20 Januari hingga Selasa.
- Kerajaan mengerahkan tentera untuk bantuan kecemasan di wilayah Aomori yang paling terjejas.
- Risiko kemalangan maut dari salji jatuh dan runtuhan bangunan berada pada tahap membimbangkan.
Menurut Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana Jepun, jumlah itu termasuk kematian seorang wanita berusia 91 tahun, Kina Jin yang ditemukan tertimbus di bawah timbunan salji setinggi tiga meter di luar kediamannya.
Kerajaan pusat telah mengerahkan anggota tentera bagi membantu penduduk di wilayah Aomori, kawasan paling terjejas, susulan dinggarkan setinggi 4.5 meter salji masih menutupi kawasan terpencil.
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, mengadakan mesyuarat khas peringkat kabinet pada pagi Selasa bagi mengarahkan para menteri mengambil segala langkah perlu untuk mencegah kematian dan kemalangan.
Fenomena jisim udara sejuk sejak beberapa minggu kebelakangan ini menyebabkan salji tebal di sepanjang pantai laut Jepun, dengan beberapa kawasan merekodkan jumlah salji melebihi dua kali ganda paras biasa.
Gabenor Aomori, Soichiro Miyashita, pada Isnin memaklumkan beliau telah meminta bantuan tentera Jepun untuk operasi bantuan bencana. Menurutnya, bantuan diperlukan khususnya bagi membantu warga emas yang tinggal bersendirian dan memerlukan sokongan untuk membersihkan salji.
Timbunan salji setinggi sehingga 1.8 meter dilaporkan meliputi kawasan bandar Aomori, dengan pekerja tempatan yang membersihkan salji di jalan raya dan kediaman berada dalam keadaan tertekan akibat beban tugas yang berat.
“Risiko kejadian yang mengancam nyawa, termasuk kemalangan maut akibat salji jatuh dari bumbung atau runtuhan bangunan, kini berada pada tahap membimbangkan,” katanya dalam satu sidang media.- AFP