Polis didakwa ‘pengkhianat’ maut dalam tahanan di Venezuela

FOTO HIASAN

CARACAS, 11 Januari – Seorang anggota polis yang ditahan dan didakwa melakukan “pengkhianatan” terhadap Venezuela dilaporkan meninggal dunia semasa berada dalam tahanan kerajaan, ketika kerajaan interim negara itu mula membebaskan tahanan politik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembebasan tahanan politik bermula selepas Delcy Rodríguez mengambil alih pentadbiran, dengan beberapa tokoh pembangkang dibebaskan.
  • Kematian anggota polis Edison Jose Torres Fernandez dalam tahanan menimbulkan tuduhan pengkhianatan dan kecaman parti pembangkang.
  • Ketiadaan maklumat rasmi mengenai punca kematian dan rawatan memicu kebimbangan tentang ketelusan serta tanggungjawab negara.

Pembebasan yang bermula pada Khamis lalu itu merupakan yang pertama sejak bekas Timbalan Presiden Nicolás Maduro, Delcy Rodríguez, mengambil alih pentadbiran dengan sokongan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Trump sebelum ini menyatakan kesediaannya membenarkan Rodríguez mentadbir Venezuela selagi Washington diberikan akses kepada rizab minyak negara itu yang besar.

Maduro ditahan bersama isterinya pada 3 Januari lalu dalam satu serbuan mengejut pada waktu malam di Caracas sebelum dibawa ke New York oleh pasukan Amerika Syarikat untuk dibicarakan atas pelbagai pertuduhan.

Kumpulan hak tahanan dan pembangkang memaklumkan hanya 21 individu dibebaskan setakat petang Sabtu, termasuk beberapa tokoh pembangkang terkemuka.

Kumpulan hak asasi menganggarkan antara 800 hingga 1,200 tahanan politik masih berada dalam tahanan di Venezuela.

Parti Primero Justicia (Justice First), yang merupakan sebahagian daripada pakatan pembangkang Venezuela, mengecam kematian anggota polis Edison Jose Torres Fernandez, 52, yang menurut parti itu ditahan pada Disember lalu kerana berkongsi mesej kritikal terhadap rejim.

“Kami secara langsung meletakkan tanggungjawab ke atas rejim Delcy Rodríguez atas kematian ini,” menurut kenyataan parti itu di platform X.

Sementara itu, kumpulan hak asasi The Committee of Relatives for the Freedom of Political Prisoners (CLIPPVE) memaklumkan pegawai polis berkenaan telah berkhidmat selama dua dekad dan secara tidak rasmi didakwa atas kesalahan pengkhianatan terhadap negara.

Menurut kumpulan itu, tiada maklumat rasmi dikeluarkan mengenai keadaan atau punca kematian Torres Fernandez, selain tidak jelas sama ada dia menerima sebarang rawatan perubatan semasa berada dalam tahanan.

“Ketiadaan maklumat dan ketelusan ini meletakkan tanggungjawab ke atas negara terhadap keselamatan dan nyawanya,” menurut kenyataan CLIPPVE.

Sejak 2014, seramai 18 tahanan politik dilaporkan meninggal dunia dalam tahanan di Venezuela, menurut beberapa pertubuhan hak asasi manusia.

Menurut pertubuhan bukan kerajaan Foro Penal, Venezuela kini mempunyai lebih 800 tahanan politik, manakala cabaran terhadap kemenangan Maduro dalam pilihan raya presiden 2024 didakwa membawa kepada penahanan kira-kira 2,400 individu.

Bagaimanapun, lebih 2,000 daripada mereka telah dibebaskan, menurut angka rasmi.-AFP