Piala Dunia 2026: AS labur AS$115 juta tingkatkan keselamatan dron

FOTO REUTERS

WASHINGTON, 13 Januari – Amerika Syarikat akan melabur AS$115 juta untuk meningkatkan keselamatan menangani ancaman dron sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia 2026 dan sambutan ulang tahun ke-250 negara itu, kata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • AS labur AS$115 juta untuk tingkatkan keselamatan menentang ancaman dron sempena Piala Dunia 2026 dan ulang tahun ke-250.
  • FEMA sudah memperuntuk AS$250 juta kepada 11 negeri tuan rumah untuk membeli teknologi anti-dron.
  • Syarikat pertahanan membangunkan pelbagai teknologi seperti pengesanan, laser, gelombang mikro dan senapang automatik.
  • Ancaman dron meningkat selepas perang di Ukraine dan insiden di lapangan terbang menimbulkan kebimbangan keselamatan.

Pengumuman itu dibuat beberapa minggu selepas Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA), yang berada di bawah DHS, menyatakan ia memperuntukkan AS$250 juta kepada 11 negeri yang menjadi tuan rumah perlawanan Piala Dunia untuk membeli teknologi menentang dron.

“Kita sedang memasuki era baharu untuk mempertahankan keunggulan udara bagi melindungi sempadan dan kawasan dalam Amerika Syarikat,” kata Setiausaha DHS, Kristi Noem, dalam satu kenyataan.

Syarikat pertahanan sedang membangunkan pelbagai teknologi untuk menentang dron, termasuk perisian pengesanan, laser, gelombang mikro, dan senapang automatik.

Bagaimanapun, DHS tidak menyatakan teknologi mana yang akan digunakan di setiap veneu Piala Dunia.

Piala Dunia FIFA 2026 dijangka menjadi ujian besar terhadap janji Presiden Donald Trump untuk memastikan keselamatan pertandingan.

Lebih sejuta pelawat dijangka hadir ke negara itu bagi menonton kejohanan berkenaan manakala bilion peminat menonton perlawanan dari luar negara.

Ancaman serangan dron semakin membimbangkan, terutamanya selepas perang di Ukraine.

Insiden dron baru-baru ini juga menimbulkan kebimbangan di lapangan terbang di Eropah dan Amerika Syarikat. – REUTERS

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan