Pesawat pejuang Hawk terhempas di Wales, dua juruterbang cedera

Foto hiasan

LONDON, 24 September – Siasatan sedang dijalankan selepas sebuah pesawat pejuang Hawk Tentera Udara Diraja Britain (RAF) terhempas ketika latihan di utara Wales, pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rakaman video menunjukkan kedua juruterbang dipercayai menyelamatkan diri dengan mengaktifkan kerusi pelontar sebelum pesawat terbakar dan terhempas.
  • Pesawat Hawk T2 itu berlepas dari pangkalan Tentera Udara Diraja Valley di Anglesey.
  • Kedua juruterbang sedang menerima rawatan di hospital dan dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
  • RAF menghentikan operasi pesawat latihan Hawk T1 dan T2 buat sementara sebagai langkah berjaga-jaga.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pertahanan Britain, Wes Streeting.

Rakaman video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan dua juruterbang dipercayai sempat menyelamatkan diri apabila sistem kerusi pelontar diaktifkan (ejection seat) sebelum ia menjunam dan terhempas dalam keadaan terbakar.

Pesawat Hawk T2 itu berlepas dari pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) Valley di Anglesey, sebuah pulau di barat laut Wales.

“Ketika berlepas, terdapat api berwarna jingga dan ketika pesawat itu memecut, ia pada dasarnya sudah terbakar,” kata seorang saksi kepada laman berita serantau North Wales Live.

Streeting yang bercakap pada satu persidangan di London berkata, kedua-dua juruterbang sedang menerima rawatan di hospital.

“Sudah tentu kami sedang menyiasat bagaimana dan mengapa kejadian ini berlaku,” katanya.

Polis memaklumkan kedua-dua juruterbang dipercayai mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, RAF menerusi kenyataan di platform X berkata operasi pesawat Hawk T1 dan T2 dihentikan sementara sebagai langkah berjaga-jaga sehingga siasatan selesai.

Pesawat Hawk T1 dan versi lebih baharu, T2, merupakan pesawat latihan dua tempat duduk berkelajuan transonik yang digunakan bagi melatih juruterbang pesawat pejuang.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.