Penduduk di India, China berbaris panjang di stesen minyak, bimbang gangguan bekalan bahan api

Orang ramai di Ahmedabad, India beratur untuk mengisi petrol susulan kebimbangan gangguan bekalan walaupun pihak berkuasa menegaskan tiada kekurangan bahan api di tengah konflik berterusan Asia Barat/ REUTERS

AHMEDABAD, 23 Mac – Barisan panjang kenderaan dilaporkan di stesen minyak di bandar Ahmedabad, India, susulan kebimbangan gangguan bekalan bahan api di tengah konflik Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bekalan petrol dan LPG di India terganggu, dengan penghantaran lebih rendah tetapi sedang ditambah secara berperingkat.
  • Penapis India meningkatkan pembelian minyak mentah dari Rusia untuk mengurangkan tekanan bekalan selepas sekatan dilonggarkan.
  • Kenaikan harga minyak global akibat konflik Asia Barat menjejaskan pasaran, mendorong rakyat China beratur sebelum penyesuaian harga runcit.

Penunggang motosikal dan skuter dilihat beratur sejak awal pagi, walaupun pihak berkuasa menegaskan tiada kekurangan bekalan petrol secara menyeluruh.

Pengusaha stesen minyak memaklumkan bekalan yang diterima lebih rendah daripada biasa namun sedang ditambah secara berperingkat.

India, sebagai pengimport minyak ketiga terbesar dunia, terkesan akibat gangguan penghantaran tenaga melalui Strait of Hormuz susulan konflik yang kini memasuki minggu keempat.

Selain minyak, negara itu turut berdepan kekurangan gas petroleum cecair (LPG) yang digunakan secara meluas untuk memasak.

Bagi mengurangkan tekanan bekalan, penapis minyak India dilaporkan meningkatkan pembelian minyak mentah dari Rusia selepas sekatan terhadap negara itu dilonggarkan.

Situasi berkenaan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna terhadap kestabilan bekalan tenaga di negara tersebut.

Kenderaan beratur di sebuah stesen minyak di Beijing, China menjelang kenaikan harga bahan api yang diumumkan di tengah konflik Asia Barat/ REUTERS

Dalam pada itu, penduduk di Beijing, China dilaporkan turut beratur panjang di stesen minyak pada Isnin, bagi mengisi bahan api sebelum kenaikan harga runcit berkuat kuasa tengah malam.

Langkah itu susulan pengumuman Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara untuk menaikkan harga maksimum petrol sebanyak 1,160 yuan dan diesel 1,115 yuan bagi setiap tan metrik.

Kenaikan tersebut merupakan pelarasan kedua sejak konflik melibatkan Iran yang menyebabkan harga minyak global kekal tinggi dan pasaran kewangan tidak menentu.

Ketika ini, harga petrol di Beijing dilaporkan sekitar 9,510 yuan bagi setiap tan metrik, dengan sistem harga runcit di China dibenarkan berubah dalam julat siling dan lantai yang ditetapkan kerajaan.

Pihak berkuasa China menyemak harga bahan api setiap 10 hari bekerja berdasarkan perubahan harga minyak mentah global serta mengambil kira kos pemprosesan, cukai dan pengedaran. -REUTERS