
HANOI, 6 April – Parlimen Vietnam mula bersidang hari ini bagi sesi baharu selepas pilihan raya bulan lalu.
- Persidangan dijangka mengesahkan pelantikan Presiden, Perdana Menteri dan jawatan lain yang telah ditetapkan oleh Parti Komunis.
- Parti Komunis memenangi 97 peratus kerusi dewan, mengukuhkan kawalan mereka ke atas proses politik.
- To Lam disahkan semula sebagai Setiausaha Agung dan dijangka dilantik Presiden, menyatukan kepimpinan parti dan negara.
Persidangan itu dijangka mengesahkan pelantikan pemimpin tertinggi negara termasuk Presiden dan Perdana Menteri serta jawatan-jawatan yang telah pun dipilih oleh Parti Komunis.
Dalam pilihan raya tersebut menyaksikan 97 peratus kerusi dewan dimenangi Parti Komunis.
Para perwakilan yang baru dipilih dijangka akan mengesahkan barisan kepimpinan yang telah ditentukan oleh kader kanan dalam kongres parti yang diadakan dua kali setiap dekad.
Pemimpin tertinggi, To Lam, telah disahkan semula sebagai Setiausaha Agung dalam kongres tersebut, namun parti berkenaan tidak mengumumkan secara terbuka tokoh-tokoh utama lain dalam struktur kepimpinan kolektif Vietnam.
Lam juga dijangka dilantik sebagai Presiden sekali gus menyatukan kepimpinan parti dan negara sebagaimana yang telah dilakukan oleh Presiden Xi Jinping di China.
Perdana Menteri serta ketua Perhimpunan Kebangsaan juga akan disahkan melalui undian oleh para anggota legislatif.
Sekiranya dilantik, Lam bakal menjadi individu pertama yang memperoleh dua jawatan tertinggi tersebut melalui kongres parti, dan bukannya mengambil alih susulan kematian penyandang terdahulu. -AFP