Negara Teluk kecam serangan balas Iran

FOTO REUTERS

GENEVA, 3 Mac – Wakil Negara-negara Teluk pada Isnin mengutuk serangan balas Iran di Asia Barat dan menyifatkan tindakan berkenaan sebagai ancaman serius kepada keamanan serta usaha diplomasi yang sedang diusahakan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Negara-negara Teluk mengutuk serangan balas Iran sebagai ancaman serius terhadap keamanan dan usaha diplomasi.
  • Mereka menyifatkan serangan itu sebagai eskalasi tidak boleh dibenarkan yang menggugat kestabilan serantau.
  • Impak termasuk gangguan ekonomi, penutupan pasaran saham UAE, dan panggilan untuk penjelasan dari duta Iran.

Enam negara berkenaan iaitu Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Saudi Arabia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan mengutuk keganasan Iran selepas negara-negara itu menjadi sasaran serangan balas Tehran.

Dalam pertemuan di Majlis Hak Asasi Manusia PBB di sini kumpulan berkenaan menyatakan bahawa serangan Iran mencetuskan “eskalasi yang tidak boleh dibenarkan” serta menggugat kestabilan serantau.

“Negara-negara Arab berusaha memupuk dialog dan keterbukaan.

“Ini adalah eskalasi yang tidak berasas yang mengganggu semua usaha keamanan dan kestabilan,” kata duta Arab Saudi, Abdulmohsen Binkhothaila, yang mewakili kumpulan itu di forum tersebut.

Reaksi itu muncul setelah serangan balas Iran, yang menyusul kerjasama ketenteraan antara Amerika Syarikat dan Israel terhadap sasaran di Iran pada Sabtu lalu, mencetuskan fasa baru konflik di Asia Barat.

Serangan berkenaan menghasilkan impak terhadap gangguan ekonomi dan keselamatan termasuk penutupan pasaran saham utama di Emiriah Arab Bersatu (UAE) selama dua hari bagi menangani kesan serangan tersebut ke atas infrastruktur dan pelaburan.

Selain itu, Arab Saudi juga telah memanggil duta Iran memberi penjelasan terhadap serangan balas berkenaan.

Negara itu turut mengkritik tindakan Tehran sebagai pelanggaran kedaulatan serta ancaman kepada keselamatan nasional.

Reaksi negara-negara Arab itu mencerminkan kebimbangan bahawa konflik berkenaan mampu berkembang menjadi krisis yang lebih parah dan memberi kesan buruk terhadap kestabilan serantau dan hubungan diplomatik. – AFP