Lubnan-Israel tandatangan perjanjian rangka kerja damai

Foto AFP

WASHINGTON, 27 Jun – Lubnan dan Israel pada Jumaat secara rasmi menandatangani perjanjian rangka kerja damai bagi menamatkan perang di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perjanjian menetapkan gencatan senjata dan membolehkan tentera Lubnan mengambil alih kawalan di dua kawasan yang kini diduduki Israel.
  • Marco Rubio menyatakan kesepakatan meletakkan rangka untuk keamanan berkekalan tetapi masih banyak kerja keras diperlukan.
  • Duta Lubnan menggambarkan langkah pertama untuk memulihkan kedaulatan, menghentikan permusuhan secara kekal dan membolehkan pulangan rakyat.

Antara intipati perjanjian hasil rundingan selama lima pusingan yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) itu termasuklah pelaksanaan gencatan senjata serta membolehkan tentera Lubnan mengambil alih kawalan di dua kawasan yang kini diduduki Israel.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, dalam majlis menandatangani perjanjian itu menyatakan bahawa kesepakatan tersebut bagi mewujudkan keamanan dan keselamatan berkekalan.

“Ini adalah permulaan. Masih banyak kerja keras yang perlu dilakukan di hadapan kita,” ujar Rubio.

Duta Lubnan ke Washington, Nada Hamadeh Moawad pula menyifatkan perjanjian itu sebagai langkah pertama ke arah memulihkan kedaulatan dan keutuhan wilayah Lubnan, memastikan penghentian permusuhan secara kekal dan muktamad serta membolehkan rakyatnya pulang ke tanah air mereka.

Dalam pada itu, utusan Israel ke AS, Yechiel Leiter menegaskan bahawa di bawah perjanjian ini, jalan menuju perdamaian antara Israel dan Lubnan kini terbuka.

Krisis di Lubnan bermula pada 2 Mac lalu apabila Hizbullah melancarkan serangan roket ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam serangan udara oleh AS dan Israel.

Israel membalas serangan tersebut dengan operasi udara secara besar-besaran dan pencerobohan darat.

Sehingga kini, tentera Israel masih menduduki sebahagian besar wilayah selatan Lubnan dan melakukan kemusnahan meluas ke atas kediaman serta bangunan di kawasan terbabit.

Berdasarkan data pihak berkuasa Lubnan, konflik berkenaan telah menyebabkan lebih satu juta rakyat Lubnan hilang tempat tinggal dan meragut lebih 4,200 nyawa.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.