
MOSCOW, 2 Ogos – Sekurang-kurangnya tiga orang maut, manakala 21 lagi cedera dalam satu letupan bom berhampiran sebuah restoran mewah di tengah bandar Moscow, Rusia, pada petang Sabtu.
- Letupan bom berhampiran restoran Itali di Dataran Kudrinskaya, salah satu bangunan pencakar langit era Stalin.
- Seorang wanita dilaporkan membawa bom buatan sendiri dan dihalang oleh pengawal sebelum peranti meletup.
- Pihak berkuasa belum kenal pasti pihak bertanggungjawab; kejadian meningkatkan kawalan keselamatan susulan serangan terhadap pegawai tentera.
Menurut pihak berkuasa Rusia, letupan berlaku beberapa minit sebelum pukul 8 malam waktu tempatan berhampiran sebuah restoran Itali di Dataran Kudrinskaya, yang terletak dalam salah satu daripada tujuh bangunan pencakar langit era Joseph Stalin.
Agensi berita negara RIA melaporkan Jawatankuasa Anti-Keganasan Rusia berkata, seorang wanita yang tidak dikenali dipercayai membawa bom buatan sendiri dan cuba memasuki restoran berkenaan, namun dihalang oleh seorang pengawal keselamatan.
Bom itu kemudian meletup, mengorbankan wanita terbabit, pengawal keselamatan serta seorang pelanggan restoran Balzi Rossi, manakala 21 mangsa lain mengalami kecederaan dengan tahap yang berbeza-beza dan menerima rawatan.
Setakat ini, pihak berkuasa belum mendedahkan identiti mangsa yang maut atau cedera, selain belum mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Akhbar Kommersant yang memetik sumbernya melaporkan, bom berkenaan dipercayai disasarkan kepada pengunjung yang berada di ruang makan terbuka restoran itu.
Laporan itu turut menyebut bahan letupan berkemungkinan diletupkan dari jauh dan wanita yang membawanya mungkin tidak menyedari peranti tersebut mengandungi bahan letupan.
Laman sesawang restoran Balzi Rossi memaklumkan premis itu ditutup pada hari kejadian bagi mengadakan satu majlis persendirian.
Insiden itu berlaku ketika Rusia terus memperketat kawalan keselamatan susulan beberapa siri pembunuhan dan cubaan membunuh pegawai kanan tentera sejak tercetusnya perang berskala penuh dengan Ukraine lebih empat tahun lalu. – REUTERS