
PALANGKARAYA, 18 Ogos – Lebih 100,000 hektar kawasan di Indonesia dilaporkan terbakar pada separuh pertama tahun ini, manakala analisis bebas yang dijalankan Nusantara Atlas menganggarkan keluasan terjejas melebihi 285,000 hektar sehingga Julai.
- Indonesia mempergiat pembenihan awan kerana kebakaran hutan semakin membimbangkan dan El Nino meningkatkan risiko cuaca lebih kering.
- Pembenihan awan menggunakan iodida perak atau garam untuk merangsang hujan; keberkesanan bergantung pada kewujudan awan yang sesuai.
- BMKG melaporkan operasi 12 hari 2023 menggandakan kebarangkalian hujan dan menghapus titik panas, tetapi ia hanya langkah mitigasi.
- Hampir 50,000 anggota bomba dikerah; pembasahan tanah gambut, pemantauan satelit, rondaan dan aset udara disiapkan; aktivis desak lindungi kawasan terdedah.
Indonesia mempergiat operasi pembenihan awan bagi menangani kebakaran hutan yang semakin membimbangkan ketika fenomena El Nino meningkatkan risiko cuaca lebih kering di negara itu.
Pembenihan awan dilakukan dengan menyebarkan iodida perak, garam atau zarah lain ke dalam awan bagi merangsang pembentukan hujan.
Bagaimanapun, Pensyarah hidroklimatologi IPB University, I Putu Santikayasa berkata, keberkesanan kaedah itu bergantung kepada kewujudan awan yang sesuai, terutama ketika musim kering.
“Keberkesanan pembenihan awan boleh menjadi sangat rendah apabila kekurangan awan,” katanya.
Pengarah Pengubahsuaian Cuaca BMKG, Budi Harsoyo pula memaklumkan, penyelidikan diketuainya mendapati operasi pembenihan awan selama 12 hari pada 2023 menggandakan kebarangkalian hujan serta menghapuskan titik panas kebakaran.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan kaedah itu sebagai langkah mitigasi dan bukan penyelesaian kekal.
Atas dasar itu, Penyelaras kempen kumpulan alam sekitar WALHI, Uli Arta Siagian menggesa kawasan yang terdedah kepada kebakaran perlu dilindungi daripada pembangunan.
Indonesia kerap berdepan kebakaran besar yang menghasilkan jerebu rentas sempadan sehingga menjejaskan negara jiran termasuk Malaysia dan Singapura.
Kebakaran tahun ini dijangka menjadi lebih buruk akibat El Nino kuat yang lazimnya membawa keadaan lebih kering di Indonesia dan sering dikaitkan dengan kebakaran besar.
Kumpulan aktivis 350.org turut memberi amaran bahawa perubahan iklim memburukkan lagi keadaan apabila El Nino berlaku ketika suhu asas global sudah lebih tinggi.
Selain pembenihan awan, hampir 50,000 anggota bomba kini dikerahkan bagi melaksanakan sebahagian besar operasi pemadaman hutan di darat.
Indonesia turut melaksanakan pembasahan semula tanah gambut, pemantauan titik panas menerusi satelit serta rondaan darat bagi mengawal kebakaran.
Selain itu, puluhan aset udara termasuk pesawat diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menyokong operasi pembenihan awan di seluruh negara. – AFP