
WASHINGTON, 27 Mac – Selepas beberapa minggu konflik di Asia Barat, Bank Dunia buat pertama kali mengeluarkan kenyataan dengan menyatakan kesediaan membantu negara terjejas melalui bantuan kewangan segera.
- Bantuan Bank Dunia meliputi dana, kepakaran dan kerjasama sektor swasta untuk memulihkan ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan.
- Konflik menyebabkan kenaikan mendadak harga minyak dan gangguan Selat Hormuz, menjejaskan baja serta bekalan makanan dunia.
- Bank Dunia akan guna kemudahan pembiayaan sedia ada dan memberi sokongan tambahan; kesan dijangka lebih buruk jika konflik berlarutan.
Bank Dunia berkata bantuan itu bukan sahaja melibatkan dana, tetapi juga sokongan kepakaran serta kerjasama dengan sektor swasta bagi memulihkan ekonomi dan peluang pekerjaan.
“Kami bersedia memberi bantuan secara besar-besaran, termasuk kewangan segera dan sokongan untuk membantu pemulihan ekonomi,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, beberapa negara yang terkesan sudah mula mendapatkan bantuan susulan kenaikan harga barangan dan gangguan rantaian bekalan akibat konflik tersebut.
Konflik di Asia Barat tercetus sejak 28 Februari lalu selepas serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran, sebelum Iran bertindak balas dengan serangan terhadap sasaran di rantau berkenaan.
Keadaan itu menyebabkan harga minyak dunia meningkat mendadak, selain gangguan di Selat Hormuz yang merupakan laluan utama penghantaran tenaga global.
Gangguan itu turut menjejaskan bekalan barangan penting seperti baja, sekali gus boleh memberi kesan kepada bekalan makanan dunia.
Bank Dunia menjelaskan pihaknya akan menggunakan pelbagai kaedah bantuan termasuk kemudahan pembiayaan sedia ada untuk membantu negara terlibat.
Katanya, situasi masih tidak menentu dan kesannya dijangka menjadi lebih buruk jika konflik berlarutan. – AFP