
RIO DE JANEIRO, 7 Januari – Bekas Presiden Brazil yang kini dipenjarakan, Jair Bolsonaro, dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan pada Selasa.
- Bolsonaro dibawa ke hospital untuk pemeriksaan selepas terjatuh dan terhantuk kepala, menurut isteri Michelle.
- Jatuh itu berlaku ketika beliau tidur; Michelle memaklumkan melalui Instagram tentang pemeriksaan perubatan.
- Hakim Alexandre de Moraes menolak permohonan tahanan rumah atas alasan kemanusiaan sebelumnya.
- Beliau mempunyai sejarah pembedahan dan rawatan berkaitan kecederaan lama termasuk serangan dan hernia.
Menurut isterinya, Michelle Bolsonaro, Bolsonaro mengalami kecederaan selepas terjatuh dan terhantuk pada bahagian kepala.
“Kami sedang dalam perjalanan ke hospital. Suami saya akan menjalani pemeriksaan,” tulis Michelle di Instagram, sambil memaklumkan pemimpin berhaluan kanan berusia 70 tahun itu terjatuh ketika sedang tidur.
Menurut laporan media tempatan, Bolsonaro sebelum ini dibenarkan keluar dari hospital dan dibawa semula ke penjara pada Khamis (1 Januari) selepas menjalani beberapa prosedur perubatan bagi merawat masalah hernia dan serangan sedu.
Terdahulu, pada hari yang sama, Hakim Mahkamah Agung, Alexandre de Moraes, menolak permohonan peguam Bolsonaro supaya bekas presiden itu dibenarkan menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah atas dasar kemanusiaan.
Berdasarkan keputusan mahkamah, selepas menerima kelulusan perubatan yang diperlukan, Bolsonaro perlu kembali menjalani hukuman penjara di Ibu Pejabat Polis Persekutuan.
Bolsonaro, yang pernah ditikam di bahagian perut semasa kempen pilihan raya pada 2018, mempunyai sejarah kemasukan ke hospital dan pembedahan berkaitan insiden tersebut.
Beliau dimasukkan ke hospital pada akhir Disember 2025 untuk menjalani pembedahan, yang diluluskan oleh Moraes susulan permohonan daripada peguamnya. -REUTERS