
ISTANBUL, 10 Jun – Markas tentera Iran memaklumkan serangan telah dilancarkan terhadap beberapa pangkalan Amerika Syarikat (AS) di rantau itu sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika ke selatan Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).
- Markas Pusat Khatam al-Anbiya kata serangan dibuat sebagai balasan kepada serangan AS di Jask, Sirik dan Qeshm.
- Markas memberi amaran serangan lebih besar dan meluas jika Amerika Syarikat meneruskan tindakan agresif terhadap Iran.
- Media Iran laporkan letupan dan tembakan di beberapa kawasan Hormozgan; televisyen negara lapor keadaan kini hampir tenang.
- CENTCOM kata AS jalankan serangan pertahanan diri; pesawat pejuang serang sistem pertahanan udara dan tapak radar berhampiran Selat Hormuz.
Dalam satu kenyataan, Markas Pusat Khatam al-Anbiya berkata serangan itu dilakukan selepas serangan AS menyasarkan kawasan di Jask, Sirik dan Qeshm di selatan Iran.
Markas itu memberi amaran bahawa serangan “lebih besar dan meluas” akan menyusul sekiranya AS meneruskan tindakan agresif terhadap Iran.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas media Iran melaporkan letupan dan serangan peluru di beberapa kawasan di wilayah selatan Hormozgan, manakala televisyen negara kemudian melaporkan keadaan kini “hampir tenang”.
Perintah Pusat AS (CENTCOM) kemudian mengumumkan penyempurnaan apa yang disifatkannya sebagai serangan “pertahanan diri” terhadap Iran.
CENTCOM memaklumkan pesawat pejuang AS menyerang sistem pertahanan udara dan tapak radar Iran berhampiran Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap insiden sebuah helikopter Apache Tentera Darat AS ditembak jatuh dalam kejadian terdahulu.- BERNAMA-ANADOLU