Iran beri amaran, tutup sepenuhnya Selat Hormuz jika AS serang loji janakuasa

Foto REUTERS

TEHRAN, 23 Mac– Tentera Iran memberi amaran untuk menutup sepenuhnya Selat Hormuz sekiranya Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bertindak atas ancaman untuk menyasarkan loji janakuasa negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Washington beri Iran masa 48 jam untuk buka semula Selat Hormuz selepas konflik bermula 28 Februari.
  • Konflik merebak ke Asia Barat; Iran membalas menggunakan dron dan peluru berpandu terhadap Israel dan kepentingan AS.
  • Tentera Iran mengancam untuk menyasarkan infrastruktur tenaga serta sistem teknologi maklumat dan komunikasi milik Israel.
  • Serangan boleh meluas ke loji janakuasa serantau yang menempatkan pangkalan Amerika atau kepentingan syarikat AS demi kedaulatan Iran.

Menurut laporan media tempatan, Washington memberi Iran tempoh 48 jam untuk membuka semula selat berkenaan sejak tercetusnya konflik pada 28 Februari lalu susulan serangan pengeboman oleh AS dan Israel ke atas Iran.

Konflik tersebut kini dilaporkan merebak ke seluruh Asia Barat, dengan Iran bertindak balas melalui serangan dron dan peluru berpandu ke atas Israel serta kepentingan AS di rantau itu.

“Jika ancaman Amerika Syarikat mengenai loji janakuasa Iran dilaksanakan… Selat Hormuz akan ditutup sepenuhnya, dan ia tidak akan dibuka semula sehingga loji janakuasa yang musnah dibina semula,”.

Demikian menurut kenyataan perintah operasi tentera Khatam Al-Anbiya yang disiarkan stesen televisyen tempatan.

Tentera Iran turut memberi amaran akan menyasarkan infrastruktur tenaga, termasuk loji janakuasa serta sistem teknologi maklumat dan komunikasi milik Israel.

Selain itu, serangan juga berpotensi diperluaskan ke loji janakuasa di negara serantau yang menempatkan pangkalan tentera Amerika serta syarikat berkepentingan AS.

Menurut kenyataan sama, langkah tersebut diambil sebagai usaha mempertahankan kedaulatan negara dan kepentingan rakyat Iran. -AFP.