ICJ mulakan pendengaran kes genosid Rohingya

FOTO REUTERS

THE HAGUE, 12 Januari — Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) PBB akan memulakan pendengaran kes terhadap kerajaan Myanmar yang didakwa melakukan genosid terhadap kaum Rohingya pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • ICJ mulakan pendengaran genosid terhadap Myanmar berkenaan dakwaan terhadap Rohingya.
  • Kes difailkan oleh Gambia pada 2019, menuduh tentera Myanmar melakukan pembunuhan dan rogol beramai-ramai.
  • Penyiasatan PBB mendapati tindakan 2017 termasuk "tindakan genosid", tetapi Myanmar menafikan.
  • Pendengaran tertutup selama tiga minggu memberi peluang mangsa Rohingya memberi keterangan antarabangsa.

Ini adalah kes genosid pertama yang didengar sepenuhnya oleh ICJ dalam tempoh lebih daripada sepuluh tahun.

Ketua Mekanisme Penyiasatan Bebas PBB bagi Myanmar, Nicholas Koumjian berkata kes tersebut bakal menjadi “panduan penting dalam menentukan definisi genosid, kaedah pembuktian dan langkah membetulkan kesalahan.

Kes tersebut difailkan oleh Gambia pada 2019, mendakwa tentera Myanmar melakukan genosid terhadap Rohingya, minoriti Islam di negeri Rakhine, sebuah wilayah yang terpencil.

Serangan pada 2017 memaksa lebih 730,000 penduduk Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, dengan banyak laporan mengenai pembunuhan, rogol beramai-ramai dan pembakaran rumah.

Misi penyiasatan PBB mendapati tindakan tentera Myanmar pada 2017 termasuk “tindakan genosid”.

Namun pihak berkuasa Myanmar menafikan laporan itu, mendakwa operasi merekamerupakan kempen ketenteraan yang sah menentang pengganas sebagai tindak balas kepada serangan pemberontak Islam.

Pada pendengaran awal ICJ 2019, pemimpin Myanmar ketika itu, Aung San Suu Kyi, menolak tuduhan Gambia, menggelarnya “tidak lengkap dan mengelirukan.”

Pendengaran kali ini akan menjadi peluang buat mangsa Rohingya terlibat memberi keterangan di mahkamah antarabangsa.

Sesi berkenaan dilakukan secara tertutup demi menjaga keselamatan mangsa.

Pendengaran akan bermula pukul 10 pagi waktu tempatan dan dijangka berlangsung selama tiga minggu.

Sejak 2021, Myanmar terus bergolak selepas junta tentera menumbangkan kerajaan sivil dan menindas protes prodemokrasi secara ganas, sekali gus mencetuskan pemberontakan bersenjata di seluruh negara.

Pilihan raya secara berperingkat yang sedang berlangsung kini dikritik oleh PBB, beberapa negara Barat dan kumpulan hak asasi manusia kerana dianggap tidak bebas dan adil. – REUTERS