
SANAA, 9 Ogos – Pemberontak Houthi mendakwa telah menyerang kemudahan kilang penapisan Saudi Aramco selepas kerajaan Arab Saudi menyatakan kebakaran di lokasi berkenaan berjaya dipadamkan.
- Houthi mendakwa menyerang kemudahan kilang penapisan Saudi Aramco sebagai tindak balas kepada pencerobohan dron Arab Saudi di barat laut Yaman.
- Kementerian Tenaga Arab Saudi berkata pasukan keselamatan mengawal kebakaran di kilang penapisan Jizan namun tidak nyatakan punca kejadian.
- Ancaman terhadap kemudahan minyak itu berlaku serentak dengan sekatan Iran terhadap Selat Hormuz.
Jurucakap kumpulan berkenaan, Yahya Saree berkata serangan tepat mengenai sasaran itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap pencerobohan dron Arab Saudi ke barat laut Yaman.
Terdahulu, Kementerian Tenaga Arab Saudi menyatakan pasukan keselamatan berjaya mengawal kebakaran di kilang penapisan Saudi Aramco di Jizan, namun tidak menyatakan punca kebakaran berkenaan.
“Kebakaran yang berlaku pada pagi Ahad, berjaya dipadamkan tanpa melibatkan sebarang kecederaan. Kemudahan sama turut menjadi sasaran pemberontak Houthi, bulan lepas,”menurut kementerian itu lagi.
Ancaman terhadap kemudahan minyak Arab Saudi itu berlaku serentak dengan sekatan Iran terhadap Selat Hormuz.-AFP