
ATHENS, 8 April -Greece melarang akses media sosial kepada kanak-kanak berumur bawah 15 tahun berkuat kuasa 1 Januari 2027, kata Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis pada Rabu.
- Perdana Menteri umum melalui TikTok, berkata tujuan bukan menjauhkan teknologi tetapi menangani ketagihan yang menjejaskan kepolosan dan kebebasan kanak-kanak.
- Kajian saintifik menunjukkan pendedahan skrin berpanjangan memberi kesan kepada perkembangan otak; otak kanak-kanak tidak mendapat rehat mencukupi.
- Negara lain turut melaksanakan atau merancang had umur: Australia, Indonesia, Austria, Sepanyol dan Denmark sedang memperkenalkan peraturan serupa.
“Kami telah memutuskan bagi melaksanakan langkah yang sukar tetapi perlu, melarang akses kepada media sosial bagi kanak-kanak di bawah umur 15 tahun,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di TikTok.
Menurut beliau, Greece antara negara terawal di dunia yang mengambil langkah sedemikian, sambil menambah bahawa pihaknya akan memberi tekanan kepada Kesatuan Eropah untuk mengikut jejak tersebut.
Mitsotakis berkata beliau menggunakan media sosial untuk membuat pengumuman itu bagi membolehkan beliau berkomunikasi secara langsung dengan golongan remaja dan kanak-kanak.
“Saya tahu ada antara anda yang akan marah… Matlamat kami bukan untuk menjauhkan anda daripada teknologi, tetapi untuk menangani ketagihan terhadap aplikasi tertentu yang boleh menjejaskan kepolosan dan kebebasan anda,” katanya.
Beliau menambah bahawa kajian saintifik menunjukkan pendedahan berpanjangan kepada skrin memberi kesan kepada perkembangan otak kanak-kanak.
‘Apabila kanak-kanak menghabiskan masa berjam-jam di hadapan skrin, otak mereka tidak mendapat rehat yang mencukupi,” katanya.
Pada Disember lalu, Australia menjadi negara pertama di dunia yang mewajibkan platform seperti TikTok, YouTube dan Snapchat memadam akaun pengguna bawah 16 tahun atau berdepan denda besar.
Indonesia pula mula menguatkuasakan larangan media sosial bagi pengguna di bawah umur 16 tahun pada Mac, dan telah mengeluarkan notis kepada Google serta Meta kerana gagal mematuhi undang-undang tersebut.
Austria bulan lalu turut mengumumkan rancangan untuk melarang penggunaan media sosial bagi kanak-kanak sehingga umur 14 tahun, dengan cadangan undang-undang dijangka dibentangkan seawal musim panas ini.
Sepanyol dan Denmark juga menyatakan hasrat untuk memperkenalkan had umur minimum bagi penggunaan rangkaian sosial. – AFP