Enam maut dalam insiden tembakan di pusat perlindungan Jerman

Foto AFP

STADE, 30 Jun – Enam individu terbunuh dalam satu insiden tembakan di sebuah pusat perlindungan ibu dan kanak-kanak di utara Jerman, dipercayai berpunca daripada pertikaian hak penjagaan anak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek hadir perbincangan mengenai hak penjagaan anaknya yang berusia tiga bulan.
  • Kanak-kanak dan ibunya berada di lokasi namun tidak cedera.
  • Suspek ditahan selepas kejaran kereta; polis melepaskan tembakan tetapi kedua-dua suspek tidak cedera.
  • Suspek tiada lesen senjata, pernah dikaitkan dengan ugutan; siasatan diteruskan untuk motif dan sumber senjata.

Menurut polis, kejadian berlaku pada Isnin di bandar Stade apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan, mengorbankan empat wanita dan dua lelaki yang kesemuanya merupakan petugas kebajikan kanak-kanak.

Pasukan kecemasan yang tiba di lokasi menemukan empat mangsa maut di tempat kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia akibat kecederaan parah tidak lama kemudian.

Ketua Polis Lueneburg, Kathrin Schuol berkata, suspek hadir ke pusat berkenaan bagi menghadiri perbincangan mengenai hak penjagaan anak perempuannya yang berusia tiga bulan.

“Kanak-kanak itu dan ibunya berada di lokasi ketika kejadian, namun tidak cedera,” katanya.

Seorang lagi mangsa dilaporkan cedera dan kini dalam keadaan stabil.

Suspek cuba melarikan diri menaiki sebuah kereta yang dipandu wanita berusia 65 tahun yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan keluarganya, namun berjaya ditahan polis selepas satu kejar-mengejar singkat.

Polis melepaskan tembakan ke arah kenderaan tersebut, namun kedua-dua suspek tidak cedera. Mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Canselor Jerman, Friedrich Merz menyifatkan kejadian itu sangat menyedihkan dan menzahirkan simpati kepada mangsa serta keluarga mereka.

Siasatan awal mendapati suspek tidak memiliki lesen senjata api dan sebelum ini pernah dikenal pasti oleh pihak berkuasa kerana membuat ugutan, namun tidak dikategorikan sebagai individu berbahaya.

Suspek merupakan warga Turki yang dilahirkan di Jerman dan menetap di Hanover, kira-kira 200 kilometer dari lokasi kejadian.

Kes kini disiasat bagi mengenal pasti motif sebenar serta bagaimana suspek memperoleh senjata yang digunakan.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.