Dua maut akibat serangan Ukraine ke atas Rusia

Foto fail/AFP)

MOSCOW,14 Januari -Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh manakala beberapa lagi cedera dalam serangan dron Ukraine ke atas Rusia, menurut pihak berkuasa tempatan pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua maut dan beberapa cedera dalam serangan dron Ukraine di Rostov-on-Don, termasuk kebakaran dan kerosakan bangunan kediaman.
  • Pendedahan kematian seorang wanita dan kecederaan lelaki di wilayah Belgorod selepas serangan dron terhadap kenderaan mereka.
  • Serangan berterusan kedua-dua pihak: Rusia lancar ratusan serangan malam, Ukraine sasarkan kemudahan ketenteraan dan tenaga di Rusia.

Insiden berlaku di bandar Rostov-on-Don, yang mengakibatkan sebuah bangunan kediaman terbakar susulan serangan itu, kata Gabenor tempatan, Yuri Slyusar, menerusi Telegram.

Empat individu lain, termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun, cedera dalam serangan berasingan di sekitar wilayah Rostov, yang turut mengakibatkan kebakaran di beberapa kawasan perindustrian.

Sementara itu, di wilayah sempadan Belgorod, seorang wanita terbunuh dan seorang lelaki cedera selepas sebuah dron Ukraine menyerang kenderaan mereka, menurut Gabenor wilayah itu, Vyacheslav Gladkov, juga menerusi Telegram.

Wilayah berkenaan kerap menjadi sasaran serangan balas dron dan baru-baru ini mengalami gangguan bekalan elektrik besar-besaran.

Rusia sejak beberapa tahun kebelakangan ini melancarkan ratusan serangan dron dan peluru berpandu ke atas Ukraine hampir setiap malam.

Pada Rabu, tentera udara Ukraine memaklumkan bahawa Rusia telah melancarkan 113 dron dan tiga peluru berpandu balistik ke arah negara itu.

Pada masa sama, Ukraine turut melancarkan puluhan dron ke sasaran di Rusia dengan tumpuan kepada kemudahan ketenteraan dan infrastruktur tenaga. – AFP