Delegasi Hamas bincang situasi Gaza, Baitulmaqdis dengan Presiden Turkiye

Foto AFP

GAZA, 6 April – Hamas pada Ahad menyatakan bahawa satu delegasi daripada kumpulan itu bertemu Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Istanbul bagi membincangkan perkembangan di Semenanjung Gaza dan Baitulmaqdis, lapor Xinhua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Delegasi Hamas diketuai Muhammad Darwish, disertai Khaled Meshaal, Khalil al-Hayya dan Zaher Jabarin.
  • Darwish memuji sokongan Erdogan terhadap perjuangan Palestin serta usaha melindungi hak, tanah dan tempat suci rakyat Palestin.
  • Kedua pihak menekankan keperluan gencatan senjata, kemasukan bantuan kemanusiaan dan pemulihan kehidupan normal di wilayah berkenaan.
  • Darwish memberi amaran bahawa undang-undang Israel 30 Mac menjadikan hukuman mati mandatori, melanggar undang-undang antarabangsa.

Dalam satu kenyataan, Hamas memaklumkan delegasi itu diketuai Muhammad Darwish, pengerusi majlis kepimpinannya, dan turut disertai pemimpin kanan Hamas Khaled Meshaal, Khalil al-Hayya serta Zaher Jabarin.

Menurut Hamas, Darwish memuji sokongan Erdogan terhadap perjuangan Palestin serta usaha beliau dalam melindungi hak, tanah dan tempat suci rakyat Palestin.

Kedua-dua pihak menekankan keperluan melaksanakan gencatan senjata, memastikan kemasukan bantuan kemanusiaan serta memulihkan kehidupan normal di wilayah berkenaan.

Darwish turut memberi amaran terhadap undang-undang Israel yang diluluskan pada 30 Mac lepas yang menjadikan hukuman mati sebagai hukuman mandatori terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang disabitkan dengan kesalahan “keganasan”, dengan menyatakan bahawa langkah itu melanggar undang-undang antarabangsa.

Sementara itu, Erdogan mengulangi sokongan Turkiye terhadap rakyat Palestin dan hak sah mereka, menurut kenyataan itu.

Gencatan senjata antara Hamas dan Israel berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025.

Fasa awalnya merangkumi pertukaran tahanan dan banduan, kemasukan bantuan kemanusiaan serta pengunduran sebahagian tentera Israel dari Gaza.

Pada Januari, Amerika Syarikat mengumumkan permulaan fasa kedua pelan damai yang dicadangkannya, yang merangkumi pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza, pelucutan senjata Hamas, usaha pembinaan semula serta penubuhan badan pentadbiran peralihan di wilayah itu.- BERNAMA-XINHUA