
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Belgium menggesa Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN memperkukuh kerjasama strategik berikutan persaingan geopolitik yang semakin sengit, dengan menegaskan perkongsian berasaskan nilai bersama serta pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa kini lebih penting berbanding sebelum ini.
- Pertahankan sistem antarabangsa berasaskan peraturan untuk menjamin keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama.
- Perkukuh peranan negara berdaulat dalam menghadapi landskap global yang semakin mencabar.
- Pastikan masa depan multilateralisme melalui tindak balas kolektif terhadap cabaran global termasuk ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Timbalan Perdana Menteri Belgium yang juga Menteri Luar, Hal Ehwal Eropah dan Kerjasama Pembangunan, Maxime Prevot berkata kedua-dua rantau perlu terus mempertahankan sistem antarabangsa berasaskan peraturan bagi menjamin keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama.
Menurut beliau, terdapat tiga dimensi utama yang perlu diberi perhatian dalam memperkukuh hubungan EU-ASEAN, iaitu mempertahankan sistem antarabangsa berasaskan peraturan, memperkukuh peranan negara berdaulat dalam landskap global yang semakin mencabar serta memastikan masa depan multilateralisme melalui tindak balas kolektif terhadap cabaran global.
“Sistem antarabangsa yang berasaskan peraturan kini berdepan tekanan dan semakin dicabar. Dalam persekitaran yang menyaksikan persaingan geopolitik semakin sengit, kepentingan mengekalkan komitmen terhadap prinsip, norma dan undang-undang antarabangsa tidak boleh dipandang ringan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Europe and a Changing Asia Pacific pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik Ke-39 anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia di sini, hari ini.
Prevot berkata pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa amat penting terutama bagi negara bersaiz sederhana seperti Belgium kerana sistem berasaskan peraturan menjadi pelindung utama dalam memastikan keselamatan rakyat, kestabilan ekonomi dan kemakmuran negara.
Mengenai keselamatan, beliau berkata cabaran dunia masa kini tidak lagi terhad kepada sesebuah negara dan memerlukan kerjasama semua pihak.
Katanya, konsep keselamatan pada masa ini tidak lagi terhad kepada aspek pertahanan semata-mata, sebaliknya merangkumi dimensi ekonomi, sosial dan kelestarian alam sekitar yang memerlukan kerjasama erat masyarakat antarabangsa.
Beliau turut menegaskan komitmen Belgium untuk terus menyokong sistem antarabangsa berasaskan peraturan, termasuk Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) serta Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) sebagai asas kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran sejagat.