
RAMALLAH, 11 April – Angka korban akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza kini mencecah 72,328 orang, manakala 172,184 lagi cedera sejak serangan bermula pada 7 Oktober 2023, lapor sumber perubatan di Gaza.
- Hospital-hospital di Gaza terima 11 jenazah dan 25 mangsa cedera dalam 24 jam terakhir.
- Sejak gencatan senjata 11 Okt, kematian naik kepada 749 dengan lebih 2,082 kecederaan direkodkan.
- Ribuan masih terperangkap di bawah runtuhan, penyelamat sukar mendekati mangsa kerana kekurangan peralatan asas.
Menurut Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA), hospital-hospital di Gaza menerima 11 jenazah rakyat Palestin bersama 25 mangsa yang cedera dalam tempoh 24 jam yang lepas.
Jumlah kematian sejak gencatan senjata pada 11 Oktober dilaporkan meningkat kepada 749 orang, dengan lebih 2,082 kecederaan direkodkan. Dalam tempoh yang sama, sebanyak 759 mayat rakyat Palestin berjaya ditemukan.
Ribuan mangsa dilaporkan masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan atau di jalanan. Bagaimanapun, pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk mendekati mangsa berikutan kekurangan peralatan asas bagi operasi mencari dan menyelamat serta kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan. -BERNAMA-WAFA