
KUALA LUMPUR, 27 Februari – Penyanyi tersohor, Hafiz Suip berkongsi kehidupan peribadi beliau dengan peminat menerusi single terbaharunya berjudul ‘Yang Engkau Mahukan’.
- Hafiz gunakan single sebagai medium luahkan perasaan peribadi tanpa bongkar keburukan orang lain.
- Single "Yang Engkau Mahukan" lahir selepas perbualan peribadi dengan komposer Ajai.
- Pelancaran lagu disempurnakan semasa majlis berbuka serta dirasmikan Ketua Pengarah Penyiaran.
Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu berkata sebagai individu yang dikenali umum, isu peribadi sering mendapat perhatian orang ramai.
Justeru katanya, dengan pelancaran single terbaharu tersebut dapat menjadi cara terbaik untuk beliau bercerita dan meluahkan segala perasaan yang terbuku di hatinya.
“Satu-satunya cara untuk saya meluahkan perasaan saya adalah melalui nyanyian dengan menghasilkan lagu. Lagu ini memang menceritakan tentang diri sana tetapi kisahnya tidak berkait soal keburukan dan keaiban seseorang sebaliknya apa yang terjadi kepada diri saya.
“Semua perasaan ada dalam lagu ini dan yang saya cuba sampaikan adalah saya nak orang hayati lagu tersebut dan apa makna lirik itu yang menceritakan tentang diri saya,” katanya.
Pelantun lagu Kisah Cinta Kita itu ditemui RTM selepas majlis pelancaran single terbaharunya itu yang turut sama berlangsung majlis berbuka puasa di St Giles Bouvelard Midvalley, di sini.
Sementara itu, Hafiz berkata idea penghasilan single Yang Engkau Mahukan tercetus selepas berkongsi kisah peribadinya bersama komposer terkenal, Ajai.
“Saya berborak dan bercerita soal hati perasaan kepada Ajai. Jadi, selepas itu Ajai nasihatkan guna (perasaan) ini dengan kau luahkan melalui lagu. Itu lah terhasilnya Yang Engkau Mahukan,” ujar beliau.
Majlis single terbaharu Yang Engkau Mahukan karya ciptaan Ajai dirasmikan Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail.