
SAUDARA PENGARANG
- Utamakan pengurusan risiko sebelum pendakian: penaksiran bahaya dan kawalan mengurangkan kebarangkalian dan keterukan insiden.
- Lakukan penilaian diri: kecergasan, pengalaman, masalah kesihatan dan pemilihan laluan mesti sesuai dengan tahap cabaran.
- Sediakan peralatan dan pelan kecemasan, gunakan malim gunung dan patuhi prosedur keselamatan untuk meminimumkan impak kejadian tidak dijangka.
Kebelakangan ini, negara dikejutkan dengan beberapa kejadian pendaki yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti di kawasan gunung dan hutan.
Setiap kali insiden sedemikian berlaku, perhatian masyarakat lazimnya tertumpu kepada operasi mencari dan menyelamat yang melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan serta pelbagai agensi lain.
Namun, di sebalik komitmen dan pengorbanan pasukan penyelamat, terdapat satu persoalan penting yang perlu direnungkan. Adakah kita lebih memberi perhatian kepada pengurusan insiden atau bencana, tetapi masih kurang memberi penekanan kepada pengurusan risiko?
Dalam masyarakat, pengurusan bencana dan pengurusan risiko sering dianggap membawa maksud yang sama. Hakikatnya, kedua-duanya mempunyai fokus dan pendekatan yang berbeza walaupun saling berkait antara satu sama lain.
Pengurusan bencana bermula apabila sesuatu kejadian telah berlaku. Ketika itu, fokus diberikan kepada tindakan kecemasan, pencarian mangsa, penyelamatan, rawatan dan pemulihan. Sebaliknya, pengurusan risiko bermula lebih awal, iaitu sebelum sesuatu aktiviti atau acara dilaksanakan.
Risiko lazimnya didefinisikan sebagai gabungan antara kebarangkalian sesuatu kejadian berlaku dan tahap keterukan impaknya sekiranya kejadian itu berlaku . Oleh itu, penaksiran risiko perlu dilaksanakan bagi aktiviti-aktiviti termasuk aktiviti lasak seperti mendaki gunung.
Pelaksanaan penaksiran risiko bukan jaminan bahawa sesuatu bencana atau insiden tidak akan berlaku. Sebaliknya, penaksiran risiko bertujuan mengurangkan kemungkinan sesuatu kejadian berlaku dan pada masa yang sama meminimumkan kesannya sekiranya kejadian tersebut tetap berlaku.
Dalam konteks pendakian gunung, kita mungkin tidak mampu menghapuskan sepenuhnya risiko seperti perubahan cuaca secara tiba-tiba, kecederaan, kehilangan arah atau kecemasan kesihatan.
Namun, risiko tersebut boleh dikurangkan melalui persediaan yang baik, latihan mencukupi, pemilihan laluan yang sesuai, penggunaan malim gunung, pematuhan kepada prosedur keselamatan dan pengurusan kumpulan yang berkesan. Pada masa yang sama, tahap keterukan akibat sesuatu insiden juga boleh direndahkan.
Sebagai contoh, seorang pendaki yang membawa alat komunikasi, bekalan makanan, air minuman, kit pertolongan cemas, kompas dan mempunyai pelan kecemasan yang jelas mungkin masih berdepan kejadian tidak dijangka, tetapi impaknya boleh menjadi lebih kecil berbanding pendaki yang tidak membuat persediaan mencukupi.
Justeru itu, dalam aktiviti pendakian, penaksiran risiko perlu bermula dengan penilaian terhadap diri sendiri. Adakah tahap kecergasan fizikal mencukupi? Adakah pendaki mempunyai pengalaman yang sesuai dengan tahap kesukaran gunung yang ingin didaki?
Adakah terdapat masalah kesihatan yang boleh menjejaskan keselamatan sepanjang perjalanan? Banyak insiden berlaku bukan semata-mata kerana gunung terlalu berbahaya, tetapi kerana tahap kemampuan pendaki tidak sepadan dengan cabaran yang bakal dihadapi.
Pengalaman tidak seharusnya menyebabkan pendaki mengabaikan penaksiran risiko. Ada kalanya, bahaya yang sering ditemui dianggap biasa lalu kurang diberi perhatian, sedangkan keadaan cuaca, laluan, tahap keletihan dan kedudukan ahli kumpulan boleh berubah pada bila-bila masa.
Dalam pengurusan risiko, bahaya yang kelihatan biasa tetap perlu dinilai semula sebelum ia membawa kepada kejadian tidak diingini.
Kajian Munauwar Mustafa dan rakan-rakan dari Universiti Utara Malaysia menunjukkan bahawa persepsi terhadap risiko membantu membentuk pemikiran kritis dan proses membuat keputusan dalam aktiviti pendakian lasak.
Kajian itu turut menekankan kepentingan refleksi pengalaman supaya pendaki lebih mampu menilai situasi berisiko dengan bijak. Ringkasnya, risiko yang tidak disedari, tidak dinilai atau dipandang ringan akan menyukarkan langkah kawalan yang berkesan.
Dalam masa yang sama, kenyataan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad yang mengingatkan pendaki supaya tidak memaksa diri dan sentiasa mengutamakan keselamatan adalah selari dengan prinsip asas pengurusan risiko.
Banyak insiden boleh berlaku bukan kerana kekurangan semangat atau keberanian, tetapi kerana kegagalan mengenal pasti had kemampuan diri serta risiko yang terdapat di persekitaran.
Setiap kejadian pendaki hilang sepatutnya menjadi ruang pembelajaran kepada seluruh komuniti pendaki.
Daripada hanya menumpukan perhatian kepada operasi mencari dan menyelamat, kita perlu bertanya apakah faktor risiko yang terlibat, apakah langkah kawalan yang gagal dilaksanakan dan apakah langkah penambahbaikan yang boleh diketengah pada masa hadapan supaya kejadian seumpamanya dapat dielakkan.
Gunung akan sentiasa mempunyai risiko. Alam semula jadi tidak boleh dikawal sepenuhnya. Namun melalui pengurusan yang sistematik dengan penaksiran risiko yang berkesan, kebarangkalian sesuatu insiden dapat dikurangkan dan keterukannya dapat diminimumkan.
Itulah hakikat sebenar keselamatan iaitu bukan menghapuskan risiko, tetapi menguruskan risiko dengan bijaksana.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly
Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko
Pensyarah, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Universiti Utara Malaysia
E-mel: syazwan.syah@uum.edu.my