Evakuasi zon konflik di Asia Barat wajar dipuji

Rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di beberapa lokasi di Asia Barat selamat pulang ke tanah air dalam Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia pada 11 Mac 2026/BERNAMA

ULASAN BERITA

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi evakuasi berjaya membawa pulang ramai rakyat Malaysia, termasuk beberapa ahli keluarga bukan warganegara, menunjukkan prinsip empati negara.
  • Kecekapan koordinasi antara agensi kerajaan, syarikat penerbangan dan hubungan diplomatik wajar dipuji; strategi kemas memastikan operasi berjalan lancar.
  • Kerajaan mengambil langkah penjimatan, mengekalkan subsidi RON95 dan memperketat penguatkuasaan untuk melindungi rakyat daripada lonjakan harga minyak.

Hampir dua minggu lalu… Israel dan Amerika Syarikat memulakan serangan terhadap Iran. Serangan dengan alasan retorik berulang oleh kedua-dua sekutu itu menyebabkan situasi keselamatan di rantau Asia Barat menjadi tidak menentu.

Konflik yang meruncing dan tegang mendesak semua negara mengambil langkah berjaga-jaga. Malaysia turut memantau rapat perkembangan yang berlaku kerana ramai warga negara kita turut berada di rantau itu.

Pergerakan orang awam terbatas, ada yang terkandas dek banyak syarikat penerbangan ambil tindakan sama ada membatalkan perjalanan atau melencongkan laluan masing-masing.

Dalam situasi sukar ini, kerajaan harus bertindak cepat. Nyawa rakyat Malaysia perlu diutamakan. Waris dan keluarga di tanah air menanti kepulangan mereka dengan penuh harapan jasad masih bernyawa.

Bertitik tolak dari itu, Operasi Evakuasi Zon Konflik di Asia Barat, dilancarkan. Usaha pertama membawa keluar rakyat Malaysia dimulakan dengan penerbangan pertama berlepas dari Kuala Lumpur ke Jeddah, Arab Saudi, Selasa lalu.

Atas dasar empati, bukan sahaja 163 rakyat Malaysia dibawa keluar, malah, tujuh ahli keluarga mereka yang bukan warganegara, terdiri daripada lima rakyat Thailand, seorang rakyat Indonesia dan seorang rakyat Maghribi turut dibawa keluar.

Kumpulan pertama selamat tiba di tanah air 12.30 tengah hari Rabu, waktu Malaysia. Terbaharu, 179 orang lagi rakyat Malaysia selamat tiba di tanah air dari Doha, Qatar, tengah malam Khamis.

Malaysia, antara negara terawal mengambil pendekatan membawa pulang rakyatnya atas faktor keselamatan.

Di Indonesia, kumpulan pertama seramai 22 rakyat yang dievakuasi dari Iran tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada Selasa. Sementara itu, kira-kira 6,300 rakyat Korea Selatan turut meninggalkan negara Asia Barat, sama ada atas usaha sendiri atau bantuan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berazam akan meneruskan operasi evakuasi bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari Asia Barat, sekiranya keadaan memerlukan.

Dalam hal ini, kecekapan koordinasi antara agensi kerajaan, syarikat penerbangan dan hubungan diplomatik, wajar dipuji. Strategi kemas, operasi berjalan lancar.

Selesai satu bab; namun impak konflik Asia Barat terus memberi kesan ketara terhadap ekonomi global. Terbaharu, harga minyak dunia melonjak lebih sembilan peratus pada Khamis sehingga kembali melepasi paras AS$100 setong.

Dengan konflik yang belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir, penganalisis memberi amaran harga minyak antara AS$90 hingga AS$100 setong berpotensi menjadi norma baharu buat sementara waktu.

Syarikat minyak dan gas multinasional Malaysia, Petronas juga memaklumkan, harga minyak mentah yang meningkat dijangka menghasilkan beberapa kesan yang bercampur-campur untuk syarikat itu.

Perkembangan itu mungkin menggusarkan segelintir rakyat. Tetapi, Perdana Menteri jamin bekalan minyak negara setakat ini masih terkawal. Harga subsidi bahan api RON95 juga kekal pada RM1.99 seliter walaupun harga minyak global meningkat.

Kata beliau, kerajaan akan sedaya upaya mengekalkan harga minyak subsidi pada kadar berkenaan. Untuk peringkat awal, kerajaan memutuskan mengambil beberapa langkah penjimatan , antaranya mengehadkan lawatan luar negara melibatkan menteri dan anggota pentadbiran.

Selain, mempertingkat penguatkuasaan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan dalam situasi mencabar ini; iaitu dengan menjual atau menyeludup petrol bersubsidi ke luar negara demi meraih keuntungan berganda.

Semuanya demi melindungi rakyat daripada kesan lonjakan harga minyak global. Beberapa negara jiran lain juga telah melaksanakan beberapa langkah kecemasan. Contohnya, Thailand telah mengarahkan agensi kerajaan melaksanakan aturan bekerja dari rumah.

Begitu juga Vietnam yang turut menggalakkan rakyatnya menggunakan pengangkutan awam sebagai langkah penjimatan penggunaan bahan api. Bangladesh pula melaksanakan catuan bahan api dan menutup universiti awam dan swasta.

Di peringkat global, atas syor Agensi Tenaga Antarabangsa. Negara anggota G7 dan beberapa negara Eropah merancang mengeluarkan rizab simpanan minyak masing-masing untuk menstabilkan harga komoditi itu.

Sesungguhnya konflik Asia Barat memberi kesan yang amat besar kepada global. Bukti betapa pentingnya keamanan dalam kehidupan.

Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Mohd KHairie Khalid.