NEW YORK, 14 Jun - Pasaran saham utama Amerika Syarikat (AS), Wall Street ditutup menjunam pada Jumaat susulan tindakan Iran melancarkan peluru berpandu ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap serangan intensif oleh Israel yang disasarkan untuk melumpuhkan keupayaan Tehran membangunkan senjata nuklear.
Ketegangan terbaharu itu bukan sahaja memburukkan lagi krisis keselamatan di Asia Barat, malah turut mencetuskan keresahan dalam kalangan pelabur global yang bimbang terhadap kestabilan geopolitik dan potensi gangguan bekalan tenaga dunia.
Harga minyak mentah melonjak hampir tujuh peratus susulan kebimbangan konflik berkenaan boleh mengganggu bekalan minyak dari rantau tersebut.
Saham tenaga Amerika Syarikat turut meningkat, dengan saham Exxon dan Diamondback Energy mencatatkan kenaikan.
Sebaliknya, saham syarikat penerbangan menyusut disebabkan kebimbangan terhadap kenaikan kos bahan api.
Saham sektor pertahanan pula melonjak, dengan Lockheed Martin, RTX Corporation dan Northrop Grumman masing-masing mencatatkan keuntungan.
Indeks S&P 500 susut sebanyak 68.29 mata, atau 1.13 peratus, untuk ditutup pada 5,976.97 mata.
Indeks Komposit Nasdaq pula jatuh 255.66 mata, atau 1.3 peratus, kepada 19,406.83 mata.
Sementara itu, Indeks Purata Perindustrian Dow Jones merosot 769.83 mata, atau 1.79%, untuk ditutup pada 42,197.79 mata.-REUTERS