OSAKA, 13 Jun – Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju pensijilan komoditi lestari menerusi pelaksanaan MSPO 2.0 yang dipamerkan secara rasmi di Ekspo 2025 Osaka.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen negara untuk menjadikan pertanian mampan sebagai asas diplomasi ekonomi masa depan.
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turut memeterai beberapa perjanjian perniagaan sepanjang ekspo, termasuk kerjasama dengan AEON Jepun, memperluas capaian produk sawit bersijil MSPO ke saluran runcit Jepun.
Kerjasama ini turut disokong Global Alliance for Sustainable Supply Chain (ASSC) dan syarikat korporat Jepun seperti Meiji, Ajinomoto dan KAO.
Menurut Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, pensijilan MSPO 2.0 membuktikan komitmen Malaysia terhadap prinsip kelestarian global, termasuk perlindungan hak pekerja, mitigasi gas rumah hijau, dan pemeliharaan kawasan nilai pemuliharaan tinggi (HCV).
Setakat ini, 86 peratus kawasan sawit negara telah diperakui, dengan sasaran 95 peratus pensijilan menjelang akhir 2025.
Kerajaan juga memperuntuk RM50 juta di bawah Belanjawan 2025 bagi menyokong pekebun kecil dengan bantuan teknikal, audit dan sistem keterjejakkan.
Selain sawit, tumpuan turut diberi kepada kenaf, komoditi hijau berpotensi tinggi dengan nilai pasaran global dijangka melebihi USD10 bilion menjelang 2032.
Cabaran utama ialah pensijilan dan pemantauan bagi memenuhi piawaian antarabangsa.
Sebanyak lima MOU strategik turut dimeterai sepanjang Minggu KPK di Ekspo 2025 Osaka merangkumi sektor biomassa, lada lestari, kenaf dan koko.
Penyertaan Malaysia dalam ekspo ini diterajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri MITI melibatkan penyertaan lebih 21 kementerian dan 70 agensi.
Setakat ini, RM8.84 bilion atau 68 peratus daripada sasaran RM13 bilion potensi pelaburan dan perdagangan telah dicapai.